Konta tersingkir akibat cedera

LEXINGTON, 11 OGOS – Pemain Britain, Jo Konta mengalami masalah kesihatan yang mengerikan ketika dia tersingkir dari pusingan pembukaan Terbuka Pilihan Utama WTA di Lexington kelmarin dengan kekalahan straight-set kepada pemain Republik Czech, Marie Bouzkova.

Pilihan ketiga, Konta memerlukan bantuan perubatan hanya selepas beberapa minit memasuki pusingan pertama di mana dia tewas 6-4,6-4 kepada pemain bukan pilihan, Bouzkova.

Pemain Britain berusia 29 tahun kelihatan tidak selesa dan kerap memegang dua jarinya ke bahagian leher untuk memeriksa nadinya sebelum menyambung permainan. Konta kemudian menjelaskan bahawa dia sering berdebar dan boleh menyebabkan kadar degupan jantungnya menjadi kencang.

“Jantung saya berdegup dengan kencang tanpa sebab, kami tidak bermain dengan lama, saya rasa paru-paru saya bermasalah,” menurut Konta.

“Ia membuatkan saya merasa sedikit pening, saya terpaksa berjumpa dengan doktor dan ahli fisioterapi.

“Saya diperiksa keseluruhannya. Saya merasa cergas tetapi semua perkara boleh terjadi. Saya memerlukan sedikit masa untuk kembali sehingga kira-kira tiga hingga empat dalam set pertama, tetapi selepas itu saya mampu untuk memberikan tumpuan kepada tenis.”

“Saya risau. Ia adalah tidak normal. Saya akan menjalani ujian EKG (electrocardiography) sekali lagi dan berharap tiada ada apa-apa. Ia tidak akan berlaku lagi tahun hadapan atau bila-bila masa.”

Konta, pemain nombor 15 dunia, merupakan pemain berprofil tinggi yang tersingkir kelmarin dalam pusingan pembukaan WTA julung kali di Kentucky.

Antara pemain-pemain pilihan utama yang mara ke pusingan kedua ialah pemain asal Poland, Magda Linette yang menewaskan pemain Amerika Syarikat (AS), Lauren Davis 6-2, 6-2 dan pemain pilihan kelapan dari Tunisia, Ons Jabeur, selepas menewaskan pemain AS, Caty McNally 6-2, 6-4. – AFP