Kontak rapat dikesan melalui Bluetooth

Oleh Ak Zaki Kasharan 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Individu yang mempunyai kontak terdekat dengan kes positif COVID-19 adalah mereka yang dinamakan sebagai kontak utama dan mereka boleh dikesan melalui kontak Bluetooth.

Sementara itu, bagi seseorang atau individu yang mempunyai kontak terdekat dengan kontak utama dan tinggal dalam satu rumah yang sama juga dikenali sebagai kontak ahli rumah sekunder.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan mengenai perkara tersebut kedua-dua kontak utama dan kontak ahli rumah sekunder akan dikenakan perintah kuarantin digital.

Sedangkan kontak utama adalah dikehendaki bagi menjalani ujian swab dengan segera pada hari pertama dan pada hari ke-12.

Walau bagaimanapun, bagi kontak ahli rumah sekunder pula tidak dikehendaki untuk menjalani ujian swab.

Sekiranya ujian swab kontak utama didapati positif, maka beliau akan menjadi pesakit positif COVID-19 dan secara tidak langsung kontak ahli rumah sekunder tersebut akan menjadi kontak utama yang akan memerlukan mereka untuk menjalani ujian swab COVID-19 pada hari pertama dan hari ke-12.