Kontaveit bakal hadapi Muguruza di peringkat akhir WTA

GUADALAJARA, MEXICO, 17 NOV – Anett Kontaveit akan menentang Garbine Muguruza dalam perlawanan akhir WTA penghujung musim di Guadalajara selepas kedua-dua pemain mara ke separuh akhir dengan cara berbeza kelmarin.

Pilihan keenam, Muguruza menewaskan rakan senegara dari Sepanyol, Paula Badosa 6-3, 6-3 untuk mara ke peringkat akhir sebelum pilihan kelapan dari Estonia, Kontaveit memerlukan tiga set untuk menundukkan pilihan keempat dari Greece, Maria Sakkari 6-1, 3-6, 6-3 dalam masa dua jam.

Ini bermakna juara dua kali Grand Slam, Muguruza akan menentang Kontaveit dalam perlawanan ulangan permainan kumpulan mereka dari awal kejohanan tersebut. Muguruza menewaskan Kontaveit dalam set berturut-turut apabila kedua-duanya bertemu pada hari Ahad.

Menentang Badosa kelmarin, Muguruza menamatkan set pertama dalam masa 35 minit untuk merampas kedudukan pendahulu, tetapi dipaksa berusaha keras pada set kedua.

Badosa kehilangan ketenangan pada saat penting mengakibatkan kekalahan, terutamanya dalam permainan ketiga set kedua apabila dia mensia-siakan tiga mata penentu.

Sebaliknya, Muguruza bertahan untuk mendahului 3-0 dan dengan Badosa kelihatan semakin kecewa dengan persembahannya, keputusan itu tidak pernah diragui. Badosa menahan servis pada permainan keempat untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Walaupun Badosa mendahului 0-30, Muguruza mengembalikan rentak permainannya semula dan meraih kemenangan apabila Badosa menghantar kembali bola menuju jaring pada mata perlawanan. – AFP

Aksi pemain Estonia, Anett Kontaveit mengembalikan bola kepada Maria Sakkari dalam perlawanan perseorangan tenis peringkat separuh akhir WTA kelmarin. – AFP