Kontena musnah terbakar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 DIS – Sebuah kontena musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Kilanas pada malam 24 Disember lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, seramai 11 orang anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Jerudong, Cawangan Operasi ‘F’ yang diketuai oleh DSO Yusof bin Bujang, dikejarkan ke insiden kebakaran kontena di Kampung Kilanas pada pukul 9:47 malam.

Apabila anggota JBP tiba, api kecil telah membakar keseluruhan kontena berukuran 3 meter lebar dan 6 meter panjang itu.

Anggota JBP segera memakai set alat pernafasan dan memadam kebakaran menggunakan satu aliran hos menggunakan air dari jentera bomba dan berjaya memadamkan kebakaran dalam masa 2 minit.

JBP menyarankan orang ramai yang berdepan insiden kecemasan untuk menghubungi
talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Anggota bomba dan penyelamat berusaha memadamkan api dalam insiden kebakaran kontena di Kampung Kilanas pada malam, 24 Disember lalu. – Gambar serahan JBP