Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Kontinjen Negara Brunei Darussalam telah bertolak meninggalkan negara kelmarin bagi menyertai Sukan Komanwel ke-22 yang dijadual berlangsung di Birmingham, England pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.
Rombongan kontinjen melibatkan seramai 12 orang yang terdiri daripada tujuh orang atlet dan lima orang pegawai termasuk chef de mission, ketua urus setia, pegawai perhubungan COVID dan jurulatih.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Menteri Pembangunan selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Hadir sama ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, serta pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan.
Kontinjen negara diketuai oleh chef de mission, Pengiran Siti Amal Jariah binti Pengiran Matjinen.
Edisi kali ini, atlet dan pasukan negara akan menyertai dua acara sukan iaitu boling padang dan angkat berat.
Kali pertama bagi Negara Brunei Darussalam mula mengikuti Sukan Komanwel adalah pada tahun 1990.
Manakala kali terakhir penyertaan negara ialah pada tahun 2018 di Gold Coast, Australia.