Kontinjen Negara Brunei Darussalam berlepas ke Hanoi

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MEI – Seramai 22 orang kontinjen Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada empat orang urus setia, enam orang jurulatih dan atlet wushu dan 12 orang jurulatih dan atlet e-sukan telah bertolak ke Hanoi, Vietnam bagi menyertai kejohanan Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-31, pada hari ini.

Hadir bagi mengucapkan selamat belayar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Kontinjen Negara Brunei Darussalam akan menyertai empat acara sukan iaitu e-sukan, karatedo, pencak silat dan wushu.

Negara Brunei Darussalam mula mengikuti Sukan SEA pada tahun 1977.

Hingga ke hari ini, negara telah memperolehi sebanyak 14 pingat emas, 56 pingat perak dan 184 pingat gangsa secara keseluruhan, di mana pencapaian terbaik negara ialah semasa negara menjadi tuan rumah pada tahun 1999 dengan meraih empat pingat emas, 12 pingat perak dan 32 pingat gangsa. 

Kali terakhir Negara Brunei Darussalam menyertai Sukan SEA ialah pada tahun 2019 di Republik Filipina dengan memperolehi dua pingat emas, lima pingat perak, dan enam pingat gangsa.

Rombongan terakhir akan bertolak ke Hanoi, Vietnam pada 15 Mei ini.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bersama kontinjen Negara Brunei Darussalam semasa sesi bergambar ramai sebelum berangkat ke Hanoi, Vietnam kelmarin.