Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada pasukan renang dan pencak silat pulang ke tanah air semalam berikutan penyertaan mereka dalam Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang baru berakhir di Kuala Lumpur, Malaysia.
Perenang negara Joel Ling Thai Yu memenangi pingat perak dalam acara 200 meter kuak lentang lelaki dengan catatan masa 2:12.91 saat dan seterusnya mencipta rekod baharu, mengatasi rekod sebelumnya 2:14:68 saat yang dilakukannya semasa pusingan awal.
Joel juga mencatat rekod kebangsaan baharu dalam acara 100 meter kuak lentang lelaki dengan catatan masa 1:00.90 saat, mengatasi rekodnya sendiri 1:00.91 saat yang dicatatnya semasa Kejohanan Kumpulan Umur Brunei ke-29, 2022.
Ia merupakan kali pertama negara memperoleh pingat dalam acara renang di Sukma. Sementara itu, atlet pencak silat negara Awang Mohd Izzamuddin bin Taha memungut pingat gangsa dalam acara tanding lelaki kelas A.
Manakala pemenang pingat perak yang lain ialah Farhah Syahirah binti Mohd Shamrin dalam acara kata individu wanita manakala trio terdiri daripada Khairul Shafiq bin Khairul Arifin, Muhammad Nazirul bin Haji Johar dan Awangku Ahmad Munib Aiman bin Pengiran Hasimudin memenangi pingat gangsa dalam acara kata berpasukan lelaki.
Setiausaha Tetap (Kesukanan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud menyambut ketibaan mereka dan menyampaikan selempang serta mengucapkan tahniah kepada para pemenang pingat atas persembahan cemerlang mereka. Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam bagi Sukan Sukma 2022 diketuai oleh Chef de Mission, Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim.
Pada edisi tahun ini, Brunei bertanding dalam lima sukan iaitu akuatik (renang), karate, pencak silat, petanque dan wusyu.