Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN. 3 Mei – Seramai 37 orang termasuk tujuh orang pegawai dari Persatuan Lumba Perahu Kebangsaan akan berlepas ke Kedah pada hari ini bagi mengikuti Festival Perahu Naga Antarabangsa Kedah di sana.
Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera Kebangsaan Negara Brunei Darussalam diadakan kelmarin disempurnakan oleh Yang Dipertua Persatuan Lumba Perahu Kebangsaan, Awang Haji Haris bin Haji Ibrahim kepada pengurus pasukan bagi Kontinjen Negara Brunei Darussalam, Awang Fadilah bin Haji Mat Serudin, yang berlangsung di kawasan letak kereta Taman Persiaran Damuan.
Kontinjen itu diketuai oleh Timbalan Yang Dipertua Persatuan Lumba Perahu Kebangsaan, Haji Masni bin Haji Hussin. Kontinjen negara bakal bersaing dengan lapan buah pasukan dari Indonesia, Thailand, Vietnam, Hongkong, dan tiga pasukan dari Malaysia.

Ini adalah penyertaan Persatuan Lumba Perahu Kebangsaan kali kelima dan atas jemputan rasmi dari Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. Pasukan ini akan menyertai kategori perlumbaan 18 Pekayuh Lelaki Terbuka Antarabangsa 1000 meter.
Ketua kontinjen berharap agar penyertaan pasukan kali ini akan meraih kejayaan dengan mengharumkan nama Negara.
Awang Haji Haris berharap agar pasukan negara akan menjaga disiplin dan nama negara di samping terus bersemangat, yakin dan positif dengan kebolehan serta usaha untuk meraih kejayaan.