Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Kontinjen Para Brunei berlepas ke Indonesia

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Kontinjen Para Negara Brunei Darussalam telah bertolak meninggalkan negara pada hari ini bagi menyertai Sukan Para ASEAN ke-11 yang akan diadakan pada 30 Julai hingga 6 Ogos 2022 di Solo, Indonesia.

    Rombongan kontinjen melibatkan seramai 22 orang terdiri daripada 13 orang atlet dan sembilan orang pegawai termasuk chef de mission, ketua urus setia, pegawai urus setia, jurulatih dan kakitangan perubatan.

    Sehubungan dengan itu, majlis penyerahan bendera negara kepada kontinjen telah diadakan di Ruang Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

    Hadir menyempurnakan penyerahan bendera negara tersebut ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

    Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko, pegawai-pegawai kanan Jabatan Belia dan Sukan serta ibu bapa dan penjaga.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam oleh Pengiran Mohammad Amirrizal kepada chef de mission kontinjen Negara Brunei Darussalam, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.

    Edisi kali ini, atlet dan pasukan negara akan menyertai tiga acara sukan iaitu olahraga, badminton dan renang.

    Negara Brunei Darussalam mula mengikuti Sukan Para ASEAN pada tahun 2001. Manakala kali terakhir penyertaan negara bagi Sukan Para ASEAN ialah pada tahun 2017 di Kuala Lumpur, Malaysia dengan memperoleh dua pingat emas, enam pingat perak dan enam pingat gangsa.

    Pengiran Mohammad Amirrizal menyerahkan bendera negara kepada Haji Ali Yusri semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...