Kontinjen PPNBD pulang dengan pingat emas

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Kontinjen terdiri daripada lima orang ahli Pengakap Laut Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah menyertai ASEAN Seaboree pertama 2019 yang berlangsung di Republik Singapura bermula 5 Disember lalu hingga kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPNBD, pada penyertaan julung kali berkenaan, kontinjen negara berjaya membawa pingat emas bagi acara wajib kegiatan Seaboree iaitu lumba perahu naga bagi Sub Camp dan bagi ketua-ketua kontinjen yang menyertai.

Kepulangan kontinjen berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, telah dialu-alukan pemimpin pengakap dan keluarga ahli-ahli pengakap yang terlibat.

Ketua kontinjen negara, Awang Muhd Hamdanajib ketika ditemui berkata, pendedahan pada kali ini adalah sangat berharga bagi ahli-ahli pengakap yang menyertai.

Beliau berasa amat bersyukur kerana dapat membawa pulang pingat emas untuk negara, kerana ini merupakan kali pertama pasukan negara menyertainya.

Di samping itu, mereka juga akan memberikan segala pengalaman berharga ini kepada ahli pengakap yang lain.

Sepanjang berada di temasya Seaboree tersebut, kontinjen negara telah banyak mempelajari kegiatan-kegiatan pengakap laut, terutama sekali perlumbaan lerahu naga, berkayak dan menyelam.

ASEAN Seaboree kali pertama itu dianjurkan oleh Persekutuan Pengakap Singapura bagi ahli-ahli pengakap yang berumur antara 12 hingga 17 tahun dari Bangladesh, Sri Lanka, Taiwan, Hong Kong serta negara-negara ASEAN.

Gambar ramai kontinjen PPNBD bersama bendera kebangsaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – Gambar daripada PPNBD