Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Rombongan ketiga delegasi Brunei Darussalam ke Temasya Sukan Asia Tenggara berlepas hari ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas di sini.
Kontinjen negara tersebut terdiri daripada 20 ahli termasuk dua orang daripada urus setia, 15 orang dari pasukan sepak takraw, dan tiga orang dari pasukan akuatik (renang berirama),
Mengucapkan selamat jalan kepada barisan delegasi negara ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Zafri bin Haji Mohamed.
Pada hari Sabtu yang lalu, kontinjen sukan ekuestrian (endurance, jumping dan polo), bola sepak dan bola jaring telah pun berlepas ke Kuala Lumpur dan memulakan cabaran masing-masing hari ini dengan menyaksikan Pasukan Bola Jaring Brunei Darussalam menentang Singapura, manakala Pasukan Bola Sepak pula melayani tuan rumah Malaysia.
Barisan pemain sepak takraw pula akan memulakan cabaran pada hari Rabu, 16 Ogos bertempat di Stadium Tertutup, Titiwangsa, Kuala Lumpur dan sukan akuatik pada 17 Ogos di Pusat Akuatik Nasional, Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Sukan Asia Tenggara ke-29 akan bermula secara rasminya pada 19 Ogos di Stadium Negara Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Malaysia dan akan berakhir pada 30 Ogos 2017.