Kontinjen taekwando, karatedo berlepas ke Filipina

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Kontinjen Negara Brunei Darussalam seramai 12 orang yang terdiri daripada tiga orang pegawai dan atlet sukan taekwando dan sembilan orang pegawai dan atlet sukan karatedo telah berlepas ke Filipina bagi menyertai Kejohanan Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA).

Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar dan seterusnya memberikan kata-kata nasihat kepada pegawai dan atlet sukan taekwando dan karatedo ialah Pemangku Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Zainab binti Haji Morshidi.

Hadir sama ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd Azlan bin Pengiran Haji Tengah Omar serta pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan.

Edisi kali ini, kontinjen negara akan menyertai sebanyak 14 acara sukan iaitu akuatik, olahraga, sukan biliard, lawan pedang, bola sepak, golf, karatedo, boling padang, bola jaring, pencak silat, polo, taekwando, tenpin bowling dan wusyu.

Negara Brunei Darussalam mula mengikuti Sukan SEA pada 1977 dan hingga ke hari ini negara telah memperolehi 12 pingat emas, 51 pingat perak dan 178 pingat gangsa di mana pencapaian terbaik ialah semasa negara menjadi tuan rumah pada tahun 1999 dengan meraih empat pingat emas, 12 pingat perak dan 32 pingat gangsa. Pada Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur, kontinjen negara telah berjaya meraih 14 pi-ngat secara keseluruhan iaitu lima pingat perak dan sembilan pingat gangsa melalui sukan wusyu, boling padang, pencak silat, sepak takraw, bola jaring, karate dan polo.

Gambar ramai kontinjen bersama Dayang Zainab dan Pengiran Haji Mohd Azlan sebelum berlepas meninggalkan tanah air.