Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Kontrak 5G diperoleh daripada DNB

    KUALA LUMPUR, 4 MAC – Ericsson menegaskan bahawa kontrak 5G dengan Digital Nasional Bhd (DNB) diperoleh secara adil, berdasarkan penyelesaian utama dan kompetitif.

    Syarikat telekomunikasi multinasional dari Sweden itu berkata pihaknya komited untuk memastikan rangkaian DNB menjadi wadah yang terbaik bahawa 5G dapat dilaksanakan di rantau ini.

    Kontrak 5G, menurut DNB pada Julai 2021, telah diberikan mengikut standard tadbir urus yang paling ketat berdasarkan nasihat EY Consulting, menurut Ericsson dalam kenyataan di sini, hari ini.

    DNB menyatakan tawaran Ericsson dinilai sebagai yang paling kompetitif berikutan mendapat penilaian tertinggi dalam ketiga-tiga komponen utama untuk kriteria penilaian tender.

    Ia termasuk tiga komponen, termasuk aspek teknikal merangkumi seluruh keupayaan teknologi 5G; keupayaan penggunaan 5G; pendekatan integrasi; keselamatan siber dan rangkaian serta operasi dan penyelenggaraan.

    Kedua ialah komersial yang meliputi cadangan pembiayaan dan jumlah kos pemilikan serta ketiga, komponen sosioekonomi yang meliputi pembangunan tempatan dan impak sosioekonomi yang positif.

    Ericsson berkata pihaknya komited untuk menjalankan perniagaan dengan integriti dan menafikan sebarang dakwaan bahawa kontrak dengan DNB diraih atas alasan lain selain daripada merit, berdasarkan kriteria yang dinyatakan di atas.

    Kenyataan itu dibuat sehari selepas Ahli Parlimen PH Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kerjasama antara DNB dan Ericsson, menyatakan bahawa berdasarkan laporan berita, syarikat telekomunikasi itu didakwa melanggar pakatan dan mempunyai isu pematuhan dalam perjanjian di Iraq pada 2019. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 remaja ditahan dalam serbuan antikeganasan

    SYDNEY, 24 APRIL - Polis Australia memberkas tujuh remaja dalam serbuan antikeganasan hari ini, dengan dakwaan rangkaian itu mungkin merancang serangan dan menimbulkan ‘risiko...