Kontrak Faiq di Leicester City berakhir

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Bintang bola sepak Brunei Darussalam, Faiq Jefri Bolkiah yang menyertai Kelab Bola Sepak Leicester City telah dibebaskan oleh kelab itu setelah menamatkan kontraknya pada akhir bulan lalu, menurut akhbar Leicester Mercury di Leicester.

Liga Perdana Inggeris telah menerbitkan senarai pemain yang dilepaskan oleh 20 kelab serta pemain yang telah ditawarkan kontrak baharu sehingga akhir musim 2019/2020.

Pemain antarabangsa Brunei itu mengakhiri musimnya bersama Leicester setelah bersama kelab selama empat tahun di Liga Perdana Inggeris, yang kebanyakannya tampil sebagai pemain remaja di Eropah.

Dia meninggalkan kelab tanpa membuat penampilan tunggal untuk pasukan senior sejak menandatangani perjanjian profesional jangka panjang dari Kelab Bola Sepak Chelsea pada 2016, walaupun dia menandatangani kontrak pelanjutan untuk satu tahun musim panas lalu.

Semasa berada di East Midlands, Faiq telah membuat lima penampilan di Liga Remaja UEFA pada musim 2016-2017 dan telah menyumbang kepada pasukan dengan satu assist.

Faiq Jefri Bolkiah yang juga merupakan pemain antarabangsa Brunei telah mengakhiri musimnya bersama Leicester City.

Dia adalah salah satu daripada lapan pemain yang dilepaskan bersama kapten bawah 23 tahun George Thomas, Viktor Johansson, Conor Tee, Ryan Loft, Rhys Davies, Ed Elewa-Ikpakwu dan Justen Kranthove.

Pemain sayap itu meninggalkan kelab dengan pasukan bawah 23 tahun tersebut menduduki tempat kedua dalam Liga Perdana 2, tiga mata di belakang pendahulu liga, Chelsea.

Pemain berusia 22 tahun itu, yang tampil dalam pasukan kebangsaan untuk enam kali, juga pernah menyertai Arsenal, Reading, Southampton dan A.F.C Newsbury dalam kariernya.

Semasa di Arsenal beliau telah menjaringkan gol dalam kemenangan 2-1 ke atas Akademi Bola Sepak Nasional Singapura (NFA) Bawah-16 di Piala Lion City pada tahun 2013.

Setelah penampilan yang mengagumkan untuk pasukan Utara London itu, Faiq dianugerahkan biasiswa untuk bermain di Chelsea pada Februari 2014 dan membuat banyak penampilan untuk pasukan bawah 18 tahun.

Berikutan aksi cemerlangnya di England, beliau terpilih dalam pasukan kebangsaan bawah 23 tahun Brunei, yang bertanding dalam Sukan Asia Tenggara (SEA) di Singapura pada tahun 2015.

Faiq membuat penampilan sulung pada tahun berikutnya bersama pasukan kebangsaan di pusingan kelayakan Kejuaraan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) semasa kemenangan Brunei 2-1 menentang Timor Leste di Stadium Olimpik di Phnom Penh, Kemboja.

Beliau menjaringkan gol pertamanya untuk negara dalam kekalahan 4-3 negara menentang Laos dalam perlawanan peringkat kumpulan pusingan ketiga kelayakan AFF.