Kontrak Mira Filzah bersama program Nona tamat lima bulan awal

Pelakon dan pengacara jelita, Mira Filzah reda apabila kontraknya bersama program Nona di TV3 yang digalas hampir empat tahun telah ditamatkan lima bulan lebih awal daripada yang dijadualkan.

Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 28, berkata, dia pernah meluahkan hasrat kepada pengurusnya untuk memberi peluang kepada pengacara lain selepas kontraknya tamat, tapi tidak menyangka pada 1 Ogos lalu adalah kali terakhir dia bersiaran untuk Nona.

“Minggu lepas adalah episod terakhir Mira bersiaran untuk Nona 2021. Mira memulakan penggambaran episod pertama Nona pada Disember 2017, dan episod akhir pada Julai 2021.

“Perancangan awal bersama pengurus, Mira pernah beritahu dia pada awal tahun, mungkin tahun ini adalah tahun terakhir Mira bersama Nona.

“Mira nak fokus sesuatu, tahun depan. Hampir empat tahun bersama Nona, Mira rasa terlalu selesa.

Mira Filzah reda apabila kontraknya bersama program Nona ditamatkan lima bulan lebih awal. – Agensi

“Bukan tidak sayang atau tak suka, cuma mahu memberi peluang kepada orang lain dan membuka ruang pada diri untuk mencuba perkara baharu.

“Walaupun kontrak habis lima bulan awal, Mira terima dengan hati yang terbuka. Sejujurnya Mira gembira kerana Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita,” katanya.

Menurut Mira, dia mengakui tidak mahir dalam bidang pengacaraan namun, berjaya bertahan mengacarakan program berkenaan hampir empat tahun.

“Mira faham kita semua mempunyai pendapat yang berbeza, ada yang kurang setuju dengan penyampaian Mira, namun Mira hormat pandangan anda semua.

“Mira akui tidak handal dalam bidang pengacaraan, tapi Mira dapat bertahan lama di dalam program ini, hampir empat tahun,” katanya.

Untuk rekod, Mira mengendalikan rancangan Nona selama tiga tahun lapan bulan. – Agensi