Kontrak Southgate dilanjut hingga 2024

LONDON, 23 NOV – Kontrak Gareth Southgate dilanjutkan dua tahun lagi selepas membawa England ke final Euro 2020, menurut Persekutuan Bola sepak (FA) hari ini.

Southgate yang turut membawa England ke separuh akhir Piala Dunia 2018 di Rusia mengubah nasib pasukannya menjadi pencabar serius selepas sekian lama bergelut dengan prestasi.

Media sejak beberapa minggu lalu melaporkan pengendali berusia 51 tahun itu dijangka memperbaharui kontraknya yang berakhir hujung tahun depan selepas tamat Piala Dunia di Qatar.

“FA gembira mengesahkan Gareth Southgate dan (pembantunya) Steve Holland menandatangani kontrak baharu sehingga Disember 2024,” kata FA dalam satu kenyataan.

“Southgate yang genap tempoh lima tahun bertugas pada penghujung bulan ini telah menunjukkan kemajuan positif, membawa England ke separuh akhir Piala Dunia FIFA dan tempat ketiga Liga Negara-Negara UEFA sebelum meraih pencapaian terbaik sejak 55 tahun lalu dengan mara ke final Euro pada musim panas.”

Kontrak baharu itu bermakna Southgate akan membawa cabaran Three Lions mengharungi kelayakan Euro 2024 yang berlangsung di Jerman. – AFP

Gambar fail menunjukkan GarethSouthgate menghadiri sesi latihan di St Geroge’sPark di Burton-on-Trent semasa perlawanan UEFA EURO 2020. Southgate telah diberikan lanjutan kontrak dua tahun selepas memimpin England ke final Euro 2020. – AFP