Kontrak pelakon sensasi, Zarina Anjoulie Lavocah, 33, bersama firma perhubungan awam, Saiful Ridzuan Public Relations And Communications tamat secara rasmi sejak bulan lalu.
Pengumuman dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Saiful Ridzuan Public Relations And Communications, Saiful Ridzuan menerusi kenyataan media yang diedarkan, hari ini.
Saiful berkata, firma itu berjaya menyelesaikan tugasan dengan sempurna sepanjang setahun dilantik sebagai pakar krisis.
“Kami ingin memaklumkan perjanjian kontrak antara firma kami dengan pelakon, usahawan dan selebriti media sosial itu sudah tamat selepas segala urusan berjaya disempurnakan serta diselesaikan.
“Zarina tidak lagi diwakili firma Saiful Ridzuan, sejak bulan lalu.
“Berikutan penamatan kontrak ini, barisan konsultan tindak balas krisis firma kami tidak akan menjawab soalan media massa mengenai krisis berkaitan dengan Zarina.
“Firma kami dilantik Zarina untuk memberikan sokongan komunikasi krisis jangka masa setahun berhubung tindakan saman sivil dikenakan terhadap Amyza Aznan, Emelda Rosmila dan Fara Mendoza,” kata Saiful Ridzuan.
Katanya, firmanya bertanggungjawab membantu dari segi strategi keseluruhan dalam melindungi dan memulihkan reputasi pelakon yang pernah membintangi drama Anak Pontianak itu sebagai pakar perunding krisis yang dilantik.
“Selain itu, kami juga memastikan kelancaran ekonominya tidak terjejas disebabkan krisis dan ancaman reputasi yang dihadapi,” katanya.
Pada tahun lalu, Zarina menuntut permohonan maaf dan wang pampasan sebanyak RM4 juta daripada pelakon, Emelda dan Amyza yang didakwa menjatuhkan reptuasinya menerusi aplikasi Telegram dalam kumpulan Bantuan COVID Seni 2020 yang mempunyai 819 ahli.
Zarina juga mengemukakan saman terhadap selebriti media sosial, Fara Mendoza berkaitan isu fitnah. – Agensi