Kontraktor projek Miri Waterfront dipilih

MIRI, 11 Jun – Kontraktor untuk projek Miri Waterfront bernilai RM5 juta telah dipilih menerusi prosedur tender terbuka dengan tender terendah diterima oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Setiausaha MBM, Morshidi Fredrick berkata kos sebenar projek itu ialah RM3,800,460.14 yang merangkumi tiga komponen utama perbelanjaan seperti kos pembinaan, bayaran perunding dan sumbangan modal kepada perkhidmatan utiliti termasuk bekalan elektrik dan air untuk cadangan penyediaan talian perkhidmatan.

“Harga kontrak (harga tender) untuk kerja-kerja pembinaan ialah RM3,222,317.75, masih terdapat baki RM1,19,539.86 daripada peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri yang boleh digunakan untuk

kerja-kerja penting berkaitan projek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata MBM telah diperuntukkan dana pembangunan khas sebanyak RM10 juta daripada kerajaan negeri untuk majlis bandar raya itu melaksanakan pelbagai projek pembangunan di bandar ini termasuk projek Miri Waterfront sebanyak RM5 juta.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada surat yang dihantar oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon daripada DAP pada 30 Mei lepas kepada MBM yang bertanyakan mengenai pembiayaan projek Miri Waterfront.

Untuk rekod, Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang dipetik sebagai berkata projek waterfront itu dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan bulan ini. – Bernama