Konvensyen Belia MPK Tutong 26 Feb

Oleh Syahmi Hassan

TUTONG, 21 FEB – Sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Daerah Tutong dengan kerjasama Badan Kemajuan dan Kreatif serta Majlis Perundi-ngan Mukim dan Kampung (MPMK) Daerah Tutong akan mengadakan Konvensyen Belia MPK Daerah Tutong 2020 pada 26 Februari ini di Kom-pleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.

Konvensyen bertemakan ‘Pemimpin Belia MPK Masa Hadapan’ itu akan memfokuskan peluang-peluang dalam MPK yang boleh diterokai oleh golongan belia sebagai bakal pemimpin akar umbi.

Perkara itu dikongsi oleh Penolong Pegawai Kerja Tingkat 2, Bahagian Institusi Mukim dan Kampung, Jabatan Daerah Tutong, Dayang Alra Nurzahra binti Abdullah Api dan ahli Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan pada sidang media mengenai konvensyen tersebut di Bangunan Lama Pejabat Daerah Tutong, kelmarin.

Mereka turut mengongsikan bahawa penglibatan belia adalah sangat penting sebagai penggerak bagi memacu idea dan pandangan yang lebih bernas dan kreatif ke arah mentransformasikan kepimpinan MPK di masa hadapan.

Bagi merealisasikan inisiatif itu, golongan belia perlu diberikan peluang dan ruang untuk memahami kewujudan, fungsi dan peranan MPK terutama ke arah mendukung dan menjayakan Wawasan Brunei
2035.

Dayang Alra Nurzahra dan Awang Abdul Aziz semasa sidang media mengumumkan kovensyen berkenaan.

Konvensyen Belia MPK 2020 memberi fokus kepada tiga teras utama sebagai future roofing kepada MPK, iaitu kepimpinan, kemajuan, kesejahteraan dan sosioekonomi masyarakat.

Menurut mereka lagi, para peserta akan berpeluang untuk menimba ilmu terutama sekali di dalam menyuntik semangat untuk bergiat aktif di dalam MPK.

Konvensyen diadakan bagi melahirkan pemimpin-pemimpin dalam kalangan belia yang berdedikasi dan berkaliber menerajui kepimpinan MPK dengan corak pemikiran generai muda yang lebih kreatif dan relevan.

Selain itu ia juga bertujuan bagi memperkasakan kepimpinan MPK ke arah kemapanan, lebih maju dan progresif di dalam melaksanakan fungsi dan peranannnya kepada negara dan masyarakat; dan merapatkan jalinan kerjasama golongan belia dengan pemimpin dan ahli-ahli MPK bagi mewujudkan agen-agen kemajuan melalui landasan yang sama dan bersaing secara sihat.

Konvensyen dijangka dihadiri 80 belia dan beliawanis terdiri daripada ahli-ahli MPMK dan belia-belia mewakili kampung-kampung di Daerah Tutong.

Antara pengisian konvensyen itu nanti ialah taklimat berkenaan dengan sejarah penubuhan, fungsi dan peranan MPK, Satu Kampung Satu Produk (1K1P) yang disampaikan oleh agensi-agensi kerajaan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Jabatan Daerah Tutong dan pengusaha 1K1P dalam kalangan belia.

Taklimat juga menjurus kepada perkongsian MPM dan MPK yang terpilih di dalam kepimpinan, pelancongan berasaskan komuniti dan aktiviti-aktiviti tahunan yang diraih oleh belia-belia.

Selain itu, sesi petang juga diisi dengan forum khas Konvensyen Belia MPK Daerah Tutong. Tiga ahli panel forum telah pun dijemput bagi memperkatakan tentang Pemimpin Belia MPK Masa Hadapan.

Di akhir konvensyen itu nanti akan diadakan pembentangan dan penyerahan resolusi daripada ketua-ketua kumpulan belia.