Konvensyen pemimpin-pemimpin sekolah labuh tirai

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Konvensyen Pemimpin-pemimpin Sekolah bagi tahun 2020 telah diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian sijil yang diselajurkan dengan penyampaian surat lantikan pemimpin sekolah.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD) itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Haji Azman bin Ahmad; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Chin Wei Keh; Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, pengarah-pengarah, ketua kluster dan pegawai kanan Kementerian Pendidikan.

Majlis penutup berkenaan juga telah diselajurkan dengan penyampaian Surat Lantikan Pemimpin Sekolah 2020 kepada tujuh orang pemimpin sekolah baharu serta penyampaian Anugerah Insentif Sekolah sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap usaha sekolah-sekolah yang menunjukkan pencapaian dan peningkatan yang signifikan dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR), BC GCE ‘O’ dan ‘A’ Level bagi 2019.

Bagi Peperiksaan PSR 2019, 11 buah sekolah rendah telah menerima insentif bagi kategori sekolah-sekolah yang mencapai keputusan cemerlang melepasi sasaran 90 peratus Gred A hingga C, 26 buah sekolah telah menerima insentif bagi kategori sekolah-sekolah yang menunjukkan peratus peningkatan Gred A hingga C dari 2017 hingga 2019, dan sebuah sekolah telah menerima insentif bagi kategori sekolah-sekolah yang mencapai 90 peratus ke atas Gred A hingga C dari 2017 hingga 2019.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyampaikan insentif kepada wakil salah sebuah sekolah menengah.

Bagi BC GCE ‘O’ Level atau IGCSE 2019, dua buah sekolah telah menerima insentif bagi kategori sekolah-sekolah yang cemerlang dalam mencapai atau melepasi sasaran 60 peratus memperoleh 5 ‘O’ Level ke atas, dan sembilan buah sekolah menerima insentif bagi kategori sekolah-sekolah yang menunjukkan peratus peningkatan dari tahun 2017 hingga 2019 memperoleh 5 ‘O’ Level ke atas.

Manakala itu, bagi BC GCE ‘A’ Level 2019, dua buah pusat tingkatan enam menerima insentif bagi kategori sekolah-sekolah yang mencapai atau melepasi 80 peratus memperoleh 3 ‘A’ Level ke atas dan dua buah sekolah menerima insentif bagi kategori sekolah-sekolah yang menunjukkan peratus peningkatan dari tahun 2017 hingga 2019 3 ‘A’ Level ke atas.

Pada tahun ini, buat julung-julung kalinya insentif juga diberikan kepada sekolah-sekolah berasaskan kepada pencapaian dalam Penilaian Keseluruhan Sekolah (Whole School Evaluation), di mana sembilan buah sekolah rendah, lapan buah sekolah menengah, dan dua buah pusat tingkatan enam telah menerima insentif berkenaan.

Majlis penutup turut mendengarkan pembentangan Rangka Komitmen Pemimpin-pemimpin Sekolah ke atas Sokongan Pembelajaran oleh wakil peserta konvensyen iaitu Awang Dzulbahrin bin Haji Sulaiman sebelum penyampaian sijil kepada para peserta konvensyen yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Sebagai hala tuju konvensyen, para pemimpin sekolah juga telah diberikan peluang untuk merangka komponen-komponen bagi Konvesyen Pemimpin-pemimpin Sekolah 2021. Lebih 500 peserta menghadiri Konvensyen berkenaan termasuk ketua-ketua jabatan, bahagian dan unit di bawah Kementerian Pendidikan, pemimpin sekolah dari sekolah-sekolah kerajaan, swasta dan sekolah antarabangsa serta sekolah-sekolah menengah Arab.

Konvensyen itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Pengurusan Pendidikan dan Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan.