Konvensyen Pemimpin Sekolah labuh tirai

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Kementerian Pendidikan melalui Unit Kepimpinan Sekolah, Jabatan Pengurusan Pendidik telah mengadakan acara penutup bagi Majlis Konvensyen Pemimpin Sekolah kali ketiga Tahun 2021/2022 yang diadakan secara maya dan berjalan sejak 23 November, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

Majlis konvensyen yang bertemakan ‘Pemimpin Berkualiti, Pendidikan Berkualiti’ tersebut merupakan kesinambungan acara sama yang telah diadakan pada bulan Februari dan Jun tahun ini dan ia memberi fokus kepada kreativiti dan inovasi sebagai sub tema.

Acara dimulakan dengan perkongsian daripada Pemangku Pengarah Sekolah-Sekolah, Awang Zainal Abidin bin Haji Kepli dan Setiausaha Kehormat Majlis Pemimpin Sekolah, Pengiran Hajah Rahmah binti Pengiran Haji Abas. Masing-masing menyampaikan perkongsian mengenai Learning Support Framework dan pengemaskinian mengenai Decision-making.

Majlis diakhiri dengan perkongsian resolusi hasil daripada bengkel Digital Citizenship in Schools bersama pemimpin-pemimpin sekolah yang disampaikan oleh Naib Yang Dipertua Majlis Pemimpin Sekolah, Awang Mohammad bin Haji Suhaili dan diikuti dengan ucapan penutup yang disampaikan oleh Ketua Unit Kepimpinan Sekolah, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kerjaya, Jabatan Pengurusan Pendidik, Pengiran Hajah Mashayu binti Pengiran Haji Yusof, selaku ketua Sekretariat Majlis Konvensyen Pemimpin Sekolah.

Dengan kaedah Blended Learning Models, para pemimpin sekolah diharap akan lebih mengetahui kepentingannya yang ketara semasa gelombang kedua pandemik COVID-19 di Negara Brunei Darussalam serta menyelaraskan Literasi Digital dengan Pelan Transformasi Digital Kementerian Pendidikan dan pembangunan Panduan Kewarganegaraan Digital (Digital Citizenship) untuk sekolah dalam mendukung visi dan misi Kementerian Pendidikan.

Turut hadir di majlis tersebut ialah timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pendidikan pemangku ketua pengarah pendidikan, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua kluster, pemimpin-pemimpin sekolah dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman semasa menyertai Majlis Konvensyen Pemimpin Sekolah yang diadakan secara maya sejak 23 November. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan