Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Konvensyen Sekolah 2019 yang berlangsung selama dua hari telah berakhir hari ini dengan majlis penutup dan penyampaian sijil di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman yang turut menyampaikan sijil-sijil penyertaan kepada peserta konvensyen.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Chin Wei Keh; Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman; Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee, para pengarah dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan.
Terdahulu, majlis mendengarkan pembentangan resolusi konvensyen oleh wakil peserta dan seterusnya diikuti dengan penyampaian sijil-sijil kepada peserta konvensyen oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis penutup berkenaan turut menyaksikan penyampaian Anugerah Insentif Sekolah iaitu bagi memberikan penghargaan dan pengiktirafan terhadap usaha sekolah-sekolah yang menunjukkan pencapaian dan peningkatan signifikan dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR), BCGCE ‘O’ dan ‘A’ Level bagi tahun 2018.


Anugerah insentif berkenaan mula diadakan pada 2014 sebagai salah satu acara tahunan yang dikendalikan oleh Jabatan Sekolah-sekolah sebagai motivasi kepada sekolah-sekolah rendah, menengah, maktab dan pusat tingkatan enam kerajaan senegara supaya mereka akan lebih bersemangat untuk meraih kejayaan yang lebih baik khususnya dalam akademik pada masa yang akan datang.
Konvensyen bertemakan ‘Pemimpin Berkualiti, Pendidikan Berkualiti’ itu telah menyaksikan pembentangan beberapa komponen perisian konvensyen iaitu sosialisasi mengenai Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2018 – 2022.
Turut diadakan adalah forum mengenai inisiatif-inisiatif jabatan, bahagian dan unit di bawah Kementerian Pendidikan manakala itu, pada sebelah pagi tadi, Bengkel Kompetensi Pemimpin Sekolah telah diadakan.