Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Pendidikan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Dengan membawa tema ‘Pemimpin Berkualiti, Pendidikan Berkualiti’, Majlis Konvensyen Pemimpin Sekolah ke-4 melabuhkan tirainya dalam acara penutup yang berlangsung secara hibrid iaitu secara fizikal di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan secara dalam talian, kelmarin.
Majlis konvensyen berlangsung selama tiga hari sejak 22 Mac lalu di mana ia merupakan acara anjuran bersama Jabatan Pengurusan Pendidik dan Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan dengan memberikan fokus kepada ‘Kewarganegaraan Digital’ sebagai sub tema.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara penutup itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, setiausaha-setiausaha tetap, naib-naib canselor, rektor, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan kluster, para pemimpin sekolah, penerima anugerah dan surat pelantikan yang terdiri daripada kalangan pemimpin sekolah serta pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Acara penutup itu dimulakan dengan resolusi Bengkel Kewarganegaraan Digital yang disampaikan oleh Pengetua Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, Haji Metussin bin Haji Jais selaku yang dipertua Majlis Pemimpin Sekolah Brunei Darussalam dan diikuti dengan penyampaian ucapan penutup mengenai hasil keseluruhan majlis yang disampaikan oleh pemangku pengarah pengurusan pendidik, Kementerian Pendidikan selaku pengerusi bersama majlis, Dayang Masdiah binti Haji Tuah.
Kemuncak acara bagi majlis berkenaan ialah penyampaian pelantikan pemimpin-pemimpin sekolah baharu dan insentif sekolah bagi sekolah-sekolah kerajaan yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan awam.
Sebanyak 19 buah sekolah rendah telah dianugerahkan mengikut pencapaian dalam empat kategori bagi Penilaian Sekolah Rendah (PSR) bagi 2021. Manakala, sebanyak tiga kategori penganugerahan kepada 12 buah sekolah menengah bagi pencapaian di dalam Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘O’ Level 2021.
Seterusnya sebanyak enam buah pusat tingkatan enam telah dianugerahkan mengikut tiga kategori pencapaian bagi Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘A’ Level 2021.