Wednesday, December 7, 2022
31.3 C
Brunei

-

Konvo KUPU SB bakal rai lebih 200 graduan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) akan mengadakan Majlis Konvokesyen ke-12 pada 1 Oktober ini di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor KUPU SB dijangka akan berangkat ke majlis dan seterusnya berkenan menganugerahkan ijazah serta diploma kepada para graduan.

Perkara ini dijelaskan oleh Pengarah Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam KUPU SB, Pengiran Siti Katijah binti Pengiran Sulaiman pada sidang media hari ini di kolej berkenaan, di mana beliau menyatakan seramai 243 orang bakal graduan akan menerima sijil dan diploma dalam program bidang masing-masing.

Pengiran Siti Katijah juga mengongsikan beberapa acara sampingan yang akan diadakan, antaranya majlis membaca Yasin dan tahlil yang telah berlangsung di Kubah Makam Diraja, hari ini.

Selain itu, majlis kesyukuran graduan akan diadakan pada 2 Oktober di mana ia akan diisi dengan majlis khatam Al-Quran, penandatanganan memorandum persefahaman bersama beberapa universiti luar, penyampaian anugerah cemerlang akademik dan penyampaian wakaf daripada mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.

Pengarah Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam KUPU SB mengongsikan persiapan Majlis Konvokesyen ke-12 KUPU SB pada sidang media, kelmarin.

Bagi memastikan majlis yang akan diadakan berjalan dengan lancar dan sempurna, beberapa langkah persediaan telah diatur dan dilaksanakan iaitu dari aspek persediaan bakal graduan dan aspek keselamatan.

Untuk persediaan bakal graduan, dua sesi raptai akan dijalankan iaitu raptai pertama pada hari ini dan raptai penuh pula akan diadakan esok di mana para bakal graduan diberikan taklimat penuh mengenai majlis konvokesyen itu dan bakal menjalankan sesi latihan menerima ijazah serta diploma mereka.

Daripada aspek keselamatan, iaitu berkaitan prosedur operasi standard (SOP), para jemputan yang akan hadir termasuk ibu bapa dan bakal graduan diminta untuk membuat ujian pantas antigen (ART) terlebih dahulu dan mendaftarkan keputusan ujian ke dalam aplikasi BruHealth.

Selain itu, mana-mana jemputan termasuk para graduan dan semua yang terlibat merasa kurang sihat pada hari berlangsungnya majlis konvokesyen nanti, mereka diminta untuk tidak hadir.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Penghormatan buat Jiang Zemin

BEIJING, 6 DIS – Siren kedengaran di seluruh China hari ini ketika Parti Komunis mengadakan perkabungan bekas pemimpin, Jiang Zemin, memberi penghormatan kepadanya sebagai...
- Advertisment -