Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Konvoi 76km meriahkan Hari Keputeraan

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 15 JULAI – Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin
    Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76, seramai 76 orang penunggang motosikal telah mengadakan konvoi sejauh 76 kilometer dari Daerah Brunei dan Muara ke Daerah Belait, hari ini.

    Dianjurkan oleh BTOP Motors Sdn Bhd, konvoi berkenaan menyaksikan para penunggang motosikal berhimpun di kawasan letak kereta syarikat itu di Jalan Gadong, Kampung Beribi sebelum memulakan perjalanan menuju Monumen Satu Bilion Tong, Seria.

    Konvoi diketuai oleh Awang Mu’adz bin Haji Abdul Hamid yang memberitahu media bahawa acara itu bukan sahaja diadakan untuk meraikan hari keputeraan Baginda Sultan malahan membantu meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya bagi penunggang motosikal.

    “Konvoi ini juga berkaitan dengan kempen ‘Sifar Kemalangan, Sifar Insiden’ kami di mana kami bekerjasama dengan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dengan harapan dapat mengurangkan kematian di jalan raya,” jelasnya.

    Beliau turut menyatakan bahawa ia merupakan konvoi pertama yang dijalankan bagi tahun ini sejak pelonggaran sekatan-sekatan disebabkan pandemik global.

    Menurutnya, kumpulan berkenaan akan mengendalikan konvoi-konvoi serupa pada masa depan berikutan pelonggaran sekatan berkenaan, sekali gus memberigakan maklumat dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan jalan raya selaras dengan kempen mereka.

    Peserta konvoi bergambar ramai apabila sampai di Monumen Satu Bilion Tong, di Seria.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...