Konvoi BMW Motorrad Brunei hulur sumbangan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Lebih 10 orang pemilik motosikal BMW berkonvoi ke Daerah Temburong bagi menyampaikan sumbangan dalam acara Motorrad Care Cartons 2020, kelmarin, yang pertama kali dianjurkan oleh BMW Motorrad Brunei.

Menyertai rombongan berkenaan ialah Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo dan kakitangan QAF Auto.

Alisa Khoo berkata, sumbangan berkenaan adalah sama seperti aktiviti kebajikan BMW Malaysia iaitu prihatin terhadap mereka yang memerlukan dan ia merupakan yang pertama diadakan di Brunei.

“Syukur, aktiviti berjalan dengan lancar, selain membantu mereka yang memerlukan, kami juga berkesempatan menikmati keindahan alam sekitar di Daerah Temburong. Kami juga merancang akan mengadakan acara berkenaan setiap tahun,” tambah beliau.

Menurut beliau, sumbangan berupa keperluan makanan asasi harian yang disampaikan adalah daripada pelanggan motosikal BMW dan acara kebajikan berkenaan merupakan cara mereka mengucapkan terima kasih kepada komuniti.

Seramai 10 orang peserta konvoi yang ikut serta bagi menyampaikan sumbangan kepada penerima. – Gambar oleh Muiz Matdani

Beliau berkata, sumbangan berkenaan menumpukan kepada lima buah keluarga yang kurang berkemampuan di daerah berkenaan yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Terdahulu, acara bermula di Bilik Pameran QAF Auto, Ibu Pejabat QAF Brunei, Beribi di mana acara juga diselajurkan dengan pelancaran motosikal terkini BMW Motorrad S 1000 RR dan seterusnya lagi diikuti dengan pelepasan konvoi ke Daerah Temburong yang kedua-duanya disempurnakan oleh Alisa Khoo.

Rombongan seterusnya mengambil kesempatan untuk bergambar ramai di Taman Peranginan Bukit Patoi sebelum menuju ke rumah-rumah penerima sumbangan di Kampung Parit.

Antara penerima yang sempat ditemui, Eveline Chung dan Dayang Rohani Rahim mengucapkan ribuan terima kasih kepada QAF Auto dan BMW Motorrad Brunei atas sumbangan yang diberikan.

“Saya tidak menyangka akan menerima bantuan berkenaan, Alhamdulillah dengan sumbangan berkenaan akan dapat meringankan lagi bebanan harian kami sekeluarga,” ujar Dayang Rohani

Selesai saja sumbangan diberikan kepada penerima, rombongan menuju ke Freme Rainforest Lodge di Jalan Batang Duri untuk aktiviti selanjutnya.