Konvoi ceriakan Hari Keputeraan

Oleh Hakim hayat

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Kira-kira 30 orang penunggang dan peminat motosikal dari keempat-empat daerah telah berkumpul di ibu negara pada 17 Julai lalu bagi meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-74.

Dengan Bandar Seri Begawan sebagai titik permulaan, kumpulan berkenaan berkonvoi ke Daerah Temburong melalui mercu-mercu tanda ikonik termasuk Istana Nurul Iman.

Beberapa penunggang wanita dari Brunei adalah antara peserta dari Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur dan Indonesia semasa konvoi bertema Happy Birthday, Your Majesty; We Love You.

Menurut ketua penunggang motosikal wanita, Dayang Haslina binti Bujang, konvoi berkenaan diuruskan dengan baik di mana penunggang-penunggang motosikal sangat berhemah sepanjang perjalanan dan sentiasa berhati-hati untuk tidak melanggar undang-undang jalan raya.

Ketua kumpulan penunggang motosikal Brunei, Haji Mohammed Noor bin Haji Adinin turut mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Polis Diraja Brunei kerana membenarkan acara berkenaan.