Konvoi sempena Hari Wanita Antarabangsa

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa, Kumpulan Pemilik Harley (HOG) Brunei telah mengadakan konvoi bermotor dinamakan Ladies of Harley Ride yang bermula di Harley Davidson Brunei, Lambak Kanan, hari ini.

Lebih 30 penunggang motosikal lelaki dan wanita menyertai konvoi berkenaan yang diketuai oleh Dayangku Siti Redzaimi binti Pengiran Haji Ahmad.

Dari Lambak Kanan, rombongan bergerak ke I Luv Cafe Bistro, Daerah Tutong di mana para peserta mengambil kesempatan untuk mengadakan perjumpaan bersama ahli kumpulan dan seterusnya berehat untuk sesi minum petang.

Sebelum perjalanan dimulakan, Doa Selamat dibacakan bagi memberkati perjalanan dan memohon keselamatan dari Allah SWT.

Ketika ditemui Media Permata, Dayangku Siti Redzaimi menjelaskan bahawa ia merupakan kali pertama mereka menganjurkan Ladies of Harley Ride bersempena Hari Wanita Antarabangsa yang jatuh pada 8 Mac dalam menghargai para penunggang motor wanita di negara ini. Di samping itu, melalui konvoi berkenaan, ia diharap dapat memberi pendedahan kepada masyarakat di negara ini akan kehadiran para penunggang motor wanita yang menjadikannya sebagai hobi mereka.

Bagi para wanita yang berminat dalam menunggang motosikal di negara ini, beliau menasihatkan mereka untuk terlebih dahulu meminta restu dan kebenaran daripada orang tua atau keluarga masing-masing sebelum meneruskan minat mereka untuk mengenderai motor kerana baginya mempunyai restu merupakan suatu hal yang penting dalam menjalankan apa pun jua yang dikerjakan termasuklah semasa menunggang motosikal.

Gambar ramai sebelum bermulanya konvoi bermotosikal ke Daerah Tutong.