Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Konvokesyen ke-34 UBD rai 1,028 graduan

    Oleh Syahmi Hassan & Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Seramai 1,028 orang graduan terdiri daripada 18 graduan PhD, 296 graduan sarjana, 703 graduan sarjana muda dari kumpulan ke-10 program GenNEXT, serta 11 penerima diploma telah diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-34 Universiti Brunei Darussalam (UBD) di Dewan Canselor UBD, hari ini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UBD telah berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan ijazah PhD dan sarjana muda kepada para graduan pada sebelah pagi.

    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor UBD, yang turut berkenan mengurniakan ijazah sarjana, diploma siswazah dan diploma kepada para graduan pada sebelah petang.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    Manakala itu, pada sebelah petang, menjunjung keberangkatan tiba DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dan Dr Hazri.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota di Dewan Canselor UBD.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menyaksikan pameran.
    ATAS & BAWAH: KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan ijazah kepada para graduan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung berangkat bagi beramah mesra bersama para graduan UBD.

    ATAS & BAWAH: DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan ijazah kepada para graduan pada sebelah petang.

    Antara graduan yang menerima ijazah mereka pada sebelah pagi.
    Antara graduan yang diraikan pada sesi sebelah petang.

    Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Majlis disusuli dengan bacaan Surah Al-Anbiya ayat 78 hingga 81 oleh pelajar Tahun 4 BSc Biologi, Awang Ahmad Termizie bin Ahmad Baihakie yang telah menyertai Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Institusi Pengajian Tinggi pada 2019.

    Ia diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Dr Hazri yang antara lain mengongsikan bahawa satu usaha yang dinamakan UBD Collaborative Online International Learning (UBD COIL) telah dilaksanakan bagi membolehkan ahli-ahli akademik dari UBD dan rakan-rakan universiti antarabangsa melaksanakan projek-projek dan pengajaran modul secara dalam talian dalam suasana global, koloboratif dan berkesan.

    Dalam pada itu, program jangka pendek iaitu Global Discovery Programme (GDP) juga telah ditukar menjadi e-GDP secara dalam talian yang meliputi topik seperti budaya, bahasa, sejarah, geologi dan kesihatan awam.

    Pelaksanaan program yang berkonsepkan experiential learning secara digital itu adalah mencabar namun telah dapat dilaksanakan dengan baik yang telah mampu menarik penyertaan tinggi pelajar antarabangsa.

    Dari segi penyelidikan pula, naib canselor menyembahkan bahawa UBD telah menunjukkan peningkatan ketara daripada kedudukan 311 pada 2020 kepada kedudukan 233 pada tahun ini dalam impak research citations dalam Times Higher Education World University Ranking.

    “Di rantau ini pula, UBD menduduki tempat ke-38 daripada 616 universiti di Asia dan ke-5 di ASEAN untuk research citations. Manakala itu, pada masa ini 80 peratus penerbitan jurnal akademik di UBD adalah dalam Tier 1 dan 2,” tambah Dr Hazri.

    Selepas mengurniakan ijazah kepada para graduan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan pameran khas yang menampilkan penggunaan teknologi untuk memartabatkan budaya dan seni Brunei di mana graduan Reka Bentuk dan Industri Kreatif (DCI) tahun ini, Awang Abdul Aliff Azizi bin Abdul Rahim dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS) mengintegrasikan augmented reality (AR)
    dalam buku foto Rhythm of Brunei.

    Ia membolehkan pembaca mempelajari budaya Brunei Darussalam sambil menikmati keindahan muzik tradisional Brunei melalui elemen animasi.

    Manakala itu, Awang Muhammad Irfan bin Awang, mahasiswa Tahun 4 daripada program DCl di FASS, menampilkan projek 19th Century Brunei di mana projek seni dua bahagian itu menggabungkan lukisan dan persekitaran realiti maya (VR) yang menggambarkan kemungkinan bagaimana suasana Kampong Ayer di Brunei Darussalam pada tahun 1,800an.

    Ia menggunakan imejan dijana komputer (CGI) untuk mencipta persekitaran yang mengasyikkan dan rujukan visual bagi mencipta lukisan.

    Projek itu merujuk rekod sedia ada yang menggambarkan rupa fizikal Kampong Ayer ketika itu, dari rupa rumah serta bagaimana ia distrukturkan di seluruh kampung.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...