Koperasi mampu jana ekonomi penduduk kampung

KUNAK, 12 OGOS – Penduduk Kampung Airport, Batu 10 di sini digalakkan supaya menubuhkan sebuah koperasi kampung yang dapat membantu menjana ekonomi penduduk, di samping menjadi kaedah mewujudkan tabung untuk sebarang aktiviti kemasyarakatan.

Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Jasa Rauddah berkata kesatuan dan hubungan erat dalam kalangan penduduk kampung berkenaan dalam menjayakan program kemasyarakatan yang diadakan di situ menunjukkan perpaduan mereka di tahap yang optimum.

“Saya mengalu-alukan kepimpinan di peringkat kampung melalui kerjasama ahli Rukun Tetangga supaya mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah koperasi di sini yang boleh memberi banyak manfaat kepada semua peserta,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis ibadah korban kampung itu di sini, hari ini.

Majlis tersebut dianjurkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dengan kerjasama jawatankuasa Surau Al-Muhajirin Kampung Airport, Batu 10.

Pengerusi KRT merangkap Pengerusi Surau Al-Muhajirin, Lahmuddin Lawati menyambut baik cadangan untuk mewujudkan sebuah koperasi di kampung tersebut dan akan mengambil tindakan lanjut mengenai perkara  itu.

Mengenai majlis itu, sebanyak tujuh ekor lembu disembelih dan daging korban diagihkan kepada golongan fakir miskin, penduduk kampung dan peserta yang terlibat. – Bernama