Kopi bukan sekadar minuman, hangat menjadi trend

ANKARA – Ribuan pencinta kopi telah mengambil kesempatan untuk mengunjungi Festival Kopi Ankara yang dianjurkan selama tiga hari di bandar raya Turki yang memang terkenal dengan minuman tersebut baru-baru ini.

Menariknya hidangan minuman itu ditawarkan dalam bentuk panas dan sejuk di mana ia turut dihasilkan secara tradisi dan juga moden.

Di Turki, kopi dianggap lebih daripada sekadar minuman. Ia sering menjadi hidangan minuman di kedai kopi kecil.

Walaupun hidangan minuman tersebut biasanya pada kadar yang minimum namun ia jelas memberikan impak yang maksimum seperti mengelakkan daripada rasa mengantuk, peneman ketika berbual dan ada juga yang dapat menilik nasib berdasarkan sisa yang terdapat di dalam secawan kopi.

Tradisi meminum kopi itu bermula pada abad ke-14 dan sejak itu ia terus berkembang menjadi satu budaya yang popular.

Seiring dengan perkembangan era millennium, jenama kopi antarabangsa yang terkemuka dari seluruh dunia juga banyak membuka cawangan di kebanyakan bandar raya di Turki di mana ia secara tidak langsung turut menarik minat pengunjung untuk menikmati aneka citarasa yang dihasilkan dengan teknik tertentu itu.

Salah seorang barista yang menyediakan pelbagai jenis kopi yang dipesan oleh pelanggan. -Xinhua
Antara pelanggan yang kelihatan cukup teruja dan bersemangat menantikan kopi yang dipesan. -Xinhua
Kreativiti juga dititikberatkan dalam penyediaan secawan kopi di Festival Kopi Ankara 2018. -Xinhua

Festival Kopi Ankara kali ketiga ini turut membawa bersama pelbagai jenama kopi dengan citarasa berbeza di samping menawarkan pelbagai aturcara menarik seperti aksi barista profesional dari rantau itu, pelbagai rekaan produk, persembahan muzik secara langsung, seminar dan bengkel.

“Saya terbiasa memulakan rutin kehidupan harian saya dengan meminum secawan kopi pada setiap pagi. Malah saya juga merasakan konsentrasi ketika mengikuti kuliah berada pada tahap yang tinggi selepas meminum kopi,” jelas salah seorang mahasiswa universiti bernama Deniz kepada Xinhua.

Kini, anda boleh menemui pelbagai jenis kopi seperti kopi dari Turki, Afrika, Asia atau Amerika Selatan di kebanyakan kedai kopi dan juga pasar raya.

“Ibu bapa saya sangat gemar minum kopi dari Turki yang saya rasa agak kuat dan saya juga akui memang gemar untuk membeli kopi di kafe seperti Starbucks dan kedai kopi yang lain,” jelas Turgut Yucel yang merupakan seorang pekerja di sebuah syarikat teknologi di pinggir bandar Ankara.

Dia turut menjelaskan bahawa dengan mengunjungi festival itu dia juga berpeluang untuk mempelajari teknik bancuhan kopi dari barista profesional.

“Lidah saya boleh merasakan pelbagai jenis kopi di festival ini malah kini saya juga boleh mengetahui dari mana kopi yang saya minum itu berasal,” jelas Yucel.

Tatkala jumlah peminum kopi di Turki semakin meningkat maka Festival Kopi yang dianjurkan di Ankara ini juga turut menjanjikan pengalaman menarik kepada pengunjungnya.

“Trend meminum kopi di negara kita semakin meningkat dalam kalangan generasi muda, jadi kami berusaha untuk memperkenalkan pelbagai rasa baharu dan aroma yang berbeza khusus bagi penggemar kopi,” jelas Ayhan Aytekin, Pengarah Bilkent Center yang merupakan pusat membeli-belah yang menjadi lokasi penganjuran festival tersebut.

Festival yang dianjurkan oleh Dream Sales Machine itu menampilkan 90 jenama. Sekitar 8,000 orang penggemar kopi telah mengunjungi festival itu pada tahun 2016 itu dan jumlah pengunjung juga meningkat kepada 15,000 orang pada tahun 2017.

Antara petak pameran yang menjadi tumpuan di festival itu adalah Kurukahveci Mehmet Efendi, jenama kopi terkemuka Turki yang telah beroperasi sejak tahun 1871.

Kini, ia telah menjadi sebuah syarikat kopi terbesar dan tertua di Turki di mana ia sememangnya merupakan satu jenama yang sering disyorkan oleh kebanyakan penduduk di Turki sekali gus menjadikannya sebagai sebuah jenama kopi termasyhur dan tidak wajar dipertikaikan.

“Tanggapan orang ramai yang mengatakan bahawa kami hanya menghasilkan kopi dari Turki sahaja itu adalah tidak benar. Pada awal tahun 1930an, kami juga pernah memanggang biji kopi espresso dan menapis kopi untuk pelanggan dari warganegara asing di Istanbul,” jelas Melih Karagul yang bertanggungjawab dalam penjagaan kualiti kopi di syarikat itu.

“Kami telah mengeksport kopi Turki ke 55 buah negara namun kami bukan satu-satunya pengeluar dan pembekal kopi di negara ini,” jelasnya.

Festival ini juga merupakan peluang terbaik kepada peniaga kecil untuk menonjolkan produk dan keistimewaan mereka kepada para pengguna.

Ramai barista muda tidak kira lelaki atau perempuan juga kelihatan bersemangat menghidangkan kopi kepada para pengunjung.

Acara ini turut menganjurkan bengkel interaktif, sesi soal jawab bersama panel jemputan, persembahan konsert secara langsung, pameran seni yang menampilkan rekaan produk berkaitan dengan kopi agar pengunjung akan mendapat tahu mengenai trend. – Xinhua