Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Kopi espreso minuman tradisi warga Itali

    NAPLES, ITALI – Secawan kopi hitam yang berlemak adalah lebih daripada minuman kafeina: kopi espreso Itali merupakan ritual sosial dan budaya amat berharga yang dianggap sebagai warisan negara yang layak menerima status UNESCO.

    Penduduk Itali meminum kira-kira 30 juta kopi espreso sehari, dari Venice ke Sicily, dalam cawan porselin atau gelas kecil, dengan atau tanpa campuran susu – dan melihat setiap satunya sebagai tanda persahabatan.

    “Kopi espreso boleh dijadikan alasan untuk memberitahu seorang kawan awda mengambil berat tentang dirinya,” kata Massimiliano Rosati, pemilik kafe Gambrinus di Naples, yang membantu menyediakan bidaan untuk menempah satu tempat dalam senarai warisan dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

    “Kopi espreso diminum setiap hari, pada bila-bila masa. Ia merupakan saat-saat yang dikongsi, saat-saat penuh keajaiban,” beritahunya kepada AFP.

    Mesin berkilat di belakang kaunter marmar berlentang-lentung dan berdesis ketika pelayan memampatkan biji kopi dalam alat penapis, menutupnya dan menjentik suis untuk menjirus air panas di dalamnya.

    Seorang pelayan menghidangkan kopi espreso di Gran Caffe Gambrinus di Naples, Itali. – AFP
    Kopi espreso sedang disediakan di Kafe Gambrinus. – AFP

    Seorang pelayan membawa dulang melintasi pelanggan yang beratur di luar kafe Gran Gambrinus di Naples, Itali. – AFP

    Untuk kopi espreso yang betul-betul sedap, minuman itu perlu mempunyai rasa yang ‘lemak’ dan buih ‘warna coklat kacang hazel kepada coklat gelap, dengan ciri-ciri kuning keperang-keperangan,’ menurut Institut Espreso Itali.

    Ia mesti mempunyai aroma berpanjangan yang mempunyai ‘keharuman bunga, buah-buahan, roti panggang dan coklat,’ kata institut, ditubuhkan pada 1998 untuk melindungi kopi espreso.

    Usaha untuk mendapatkan status warisan telah pun dihantar oleh kementerian pertanian kepada suruhanjaya UNESCO negara Itali, yang mesti menghantarnya kepada ibu pejabat badan PBB di Paris pada 31 Mac.

    Itali telah pun mempunyai beberapa siri tradisi hidup dan adat resam dalam senarai, daripada pemburuan trufel kepada seni pembuatan piza Neapolitan, diet Mediterranean dan pertukangan violin tradisional di Cremona, tempat kelahiran Antonio Stradivari.

    Meminum kopi espreso ‘merupakan satu ritual, ia agak suci,’ kata guru bersara Annamaria Conte, 70, ketika dia berjalan ke dalam kafe Gambrinus dari dataran Piazza del Plebiscito berhampiran pinggir laut di Naples.

    Sesetengah orang suka pai krim, piza kecil atau bebola doh goreng bersama kopi espreso mereka, sambil berbual ketika menghirup minuman dan makanan ringan tersebut.

    “Apabila saya berkunjung ke luar negara, saya melihat orang berbaris untuk membeli kopi mereka, berdiri dalam barisan panjang, ada di antaranya menggunakan iPhone, duduk di satu sudut dengan buku. Ia bukan apa yang dapat dilihat di sini,” kata tuan punya Rosati.

    “Terdapatnya satu adat dan tradisi yang masih hidup hari ini di sesetengah kawasan Naples di mana, apabila awda menziarahi seseorang, awda tidak membawa bunga atau kek, awda membawa gula dan kopi.”

    Angelo Moriondo dari Turin merupakan orang yang pada tahun 1884 mencipta hak paten mesin stim pertama untuk kopi espreso, tetapi Desiderio Pavoci di Milan yang telah membiayai dana untuk membangunkan dan menghasilkan mesin industri besar untuk kafe dan restoran.

    Mesin berkenaan boleh didapati di seluruh Itali, dengan setiap satu daripada 20 rantau negara menghasilkan kopi espreso dengan cara agak berlainan – lebih pendek, lebih panjang, lebih atau kurang kuat, kemungkinan dengan air membuih.

    “Saya mempunyai banyak kenangan datang ke sini, meminum kopi, dan ia benar-benar sedap,” kata pelancong Yael Lesin-Davis, 28, ketika dia meminum espreso ‘Moretto’, dengan susu berbuih dan serbuk koko.

    Raimondo Ricci, pemilik kafe Sant’Eustachio di pusat sejarah Rom, berkata kopi espreso mempunyai kuasa untuk menjauhkan rasa kesunyian, walaupun apabila diminum sendirian, jauh dari kafe.

    “Kadangkala di rumah, kami membuat kopi dan kami berborak dan ditemani oleh mesin ini yang menceriakan suasana seluruh bilik dan seluruh rumah,” katanya.

    Keharuman aroma kopi, menurutnya membangkitkan ‘kenangan masa gembira.’ – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...