Kopi lebih $100 secawan?

SAN FRANCISCO, 19 Mei – Sebuah kafe di California menjual secawan kopi dengan harga AS$75 (lebih kurang $103 dolar Brunei).

Kafe tersebut, Klatch Coffee menyajikan minuman eksklusif, Elida Natural Geisha 803 di cawangan mereka di California Selatan dan San Francisco.

Nombor 803 itu merujuk kepada harga kopi tersebut AS$803 (BND1,106) sepaun yang dijual ketika sesi lelongan baru-baru ini selepas ia memenangi pertandingan Best of Panama Coffee yang dikatakan setaraf anugerah berprestij Oscars. Hanya 45 kilogram biji kopi boleh dibeli dan kebanyakannya boleh didapati di Jepun, China dan Taiwan.

Menurut pemilik bersama kafe itu, Bo Thiara, Klatch dapat membeli 4.5 kilogram dan menjadi cawangan tunggal di Amerika Utara yang memiliki kopi termahal tersebut.

Kopi jenis Arabica dari Panama itu mempunyai rasa teh campuran jasmin dan beri. – AP

Pemilik Klatch Coffee, Bo Thiara memegang secawan kopi paling mahal, Elida Natural Geisha di kafenya di San Francisco. – AP