Sunday, January 26, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Korale’ tukar sampah jadi wang

    ADDIS ABABA – Dengan beg lusuh di belakangnya, Dereje Enigdamekonen menjelajah lorong-lorong tak berpenghujung di pasar Merkato di Addis Ababa, memanggil barang-barang terpakai yang melimpah ruah di ibu kota Etiopia.

    “Korale, korale,” beliau melaung sekali-sekala.

    Ia adalah perkataan rekaan dalam bahasa Amharic yang kini digunakan untuk merujuk kepada ribuan pengumpul, hampir semuanya lelaki, yang mencari apa sahaja daripada tong air, peralatan elektrik, kasut, penyodok, hingga barang-barang terbuang lain.

    Barang-barang berkenaan kemudian sama ada dibaiki, dibuka untuk mendapatkan alat ganti, atau diubah menjadi sesuatu yang baharu – memberikan kehidupan baharu kepada objek yang sebaliknya akan menjadi sampah yang mencemarkan.

    Dereje, 45 tahun, telah melakukan pekerjaan ini selama setahun, sama ada cuaca hujan mahupun panas, dengan mengatakan dia membeli ‘segala-gala yang boleh digunakan semula.’

    Korale berbaring di atas timbunan objek yang dikutip di daerah Merkato di Addis Ababa. – AFP
    Ezedin Muste mengalihkan timbunan besar bekas sabun plastik di daerah Merkato di Addis Ababa. – AFP
    Seorang pengumpul tidak rasmi, dikenali sebagai ‘korale’, berjalan sambil membawa tong plastik di kepalanya berdekatan dengan daerah bersejarah Merkato di Addis Ababa. – AFP

    Untuk satu kilogram logam yang dikumpul, dia boleh memperoleh kira-kira 40 birr (AS$0.30), manakala untuk tong air terpakai, bergantung pada saiz, antara 3 hingga 25 birr.

    “Sampah boleh diubah menjadi wang,” katanya sambil tersenyum.

    Setelah merayau-rayau selama berjam-jam, para korale berkumpul di kawasan Merkato dengan berkata ‘Minalesh Tera’, yang dalam bahasa Amharic bermaksud “Apa yang kamu peroleh?”

    Di sini, lorong-lorong sempit di Merkato, salah satu pasar terbuka terbesar di Afrika, dipenuhi dengan kedai-kedai kecil yang dibina daripada tin yang terbentang sejauh mata memandang.

    Para pengitar semula menjual hasil penemuan harian mereka kepada orang tengah seperti Tesfaye Getahun, yang ketika itu sedang membongkar sebuah mesin pencetak besar.

    Dengan ketukan kuat menggunakan tukul, dia mengasingkan papan induk komputer dan beberapa bahagian aluminium.

    Sama ada komputer atau televisyen lama, Tesfaye berkata dia mengitar semula segala-galanya.

    “Ia sudah tidak digunakan lagi, dan jika dibiarkan begitu, ia boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Tetapi jika ia dibongkar dan dijual untuk alat ganti, ia membantu mengurangkan pencemaran,” katanya.

    Addis Ababa menghasilkan sekitar 400,000 tan sampah setiap tahun, menurut angka dari Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) pada tahun 2020, di mana hanya 70 peratus yang dikutip oleh sistem pengurusan sampah rasmi.

    Tamirat Dejene hampir tidak kelihatan di tengah-tengah timbunan tong plastik di kedainya.

    Lelaki berusia 21 tahun itu, yang telah mengumpul plastik selama empat tahun, berkata dia memperoleh antara 500 hingga 1,000 birr (AS$4 hingga AS$8.50) sehari.

    Jumlah tersebut sangat bernilai di negara di mana lebih sepertiga daripada 120 juta penduduknya hidup di bawah garis kemiskinan, menurut Bank Dunia.

    “Kami mencari rezeki dan kami juga membantu alam sekitar kerana barang-barang ini tidak boleh terurai secara semula jadi,” kata Tamirat.

    “Ia juga memberi manfaat kepada Addis Ababa. Jika sampah ini tidak dikutip, tapak pelupusan sampah di bandar ini akan melimpah. Jadi, kami mencari rezeki sambil menyediakan penyelesaian,” tambahnya.

    Barang-barang yang dibuat di Minalesh Tera kemudian dijual di kedai-kedai di ibu kota dan seluruh negara.

    Ada yang menjual di kawasan lebih jauh.

    Biruk Shimeles, 31, membeli logam lusuh untuk membuat dapur arang aluminium
    yang dijualnya di Sudan, Djibouti dan Somalia.

    “Kerja ini melindungi komuniti daripada sampah dengan menukarnya menjadi peluang perniagaan,” kata Biruk. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda