Korban banjir meningkat, penduduk tinggalkan penempatan

ZHENGZHOU, 23 JULAI – Penduduk kampung meninggalkan penempatan sementara ketika banjir menenggelamkan semula sebahagian tengah China, selepas banjir kilat sebelum ini yang mengorbankan 56 nyawa.

Ribut taufan yang kini menuju pantai timur China, dijangka melanda kawasan itu, akan meningkatkan lagi kemusnahan.

Berjuta-juta penduduk terjejas banjir di wilayah Henan, dengan mangsa terperangkap tanpa makanan dan air bersih, selepas arus deras yang memecahkan tebing, mengangkat jalan raya dan meninggalkan lapisan lumpur tebal.

Di kota Zhengzhou hari ini, pasukan bomba terus mengepam air berlumpur dari terowong termasuk laluan kereta api bawah tanah, tempat berbelas-belas penumpang terperangkap.
Hujan lebat semalam menyaksikan aliran banjir melimpah ke utara Xinxiang serta kawasan sekitarnya dengan kebanyakan ladangnya ditenggelami air dan bandar terbabit itu terputus hubungan, berikutan tebing Sungai Wei runtuh.

Ia menggagalkan usaha memasang benteng dengan menggunakan trak.

Rakaman dari udara hari ini menunjukkan penyelamat menggunakan jambatan sementara, bagi memindahkan beratus-ratus penduduk ke tempat selamat, berikutan hanya kelihatan atas pokok yang menandakan banjir semakin tinggi.

Angka kematian mungkin meningkat kerana pengiraan masih dijalankan. Kira-kira 9,000 orang sudah dipindahkan, 19,000 lagi perlu diselamatkan.– AFP

Penduduk menaiki jentera angkut untuk menyeberangi jalan banjir akibat hujan lebat yang kini meragut 56 nyawa di bandar Zhengzhou, China, 23 Julai. – AFP