Korban COVID-19 AS melebihi 200,000

WASHINGTON, 23 SEPT – Kadar kematian di Amerika Syarikat (AS) akibat pandemik koronavirus telah melepasi 200,000 orang, ketika gelombang jangkitan baharu memaksa pihak berkuasa di Eropah untuk mengenakan semula sekatan perintah berkurung yang ketat.

Negara paling berkuasa di dunia telah mencapai angka tersebut dalam masa 41 hari sebelum pilihan raya presiden dan ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa kes baharu di seluruh dunia akan meningkat kepada rekod yang lebih tinggi.

Presiden AS, Donald Trump – yang berdepan dengan cabaran untuk pilihan raya dan ketinggalan di belakang calon parti Demokratik Joe Biden dalam undian – berkata angka 200,000 itu adalah ‘memalukan’ dan menyalahkan China.

Trump yang memberi ucapan menerusi video semasa Perhimpunan Agung PBB tahunan untuk menyerang Beijing kerana tidak menghentikan penyebaran dengan apa yang disebut sebagai ‘virus China’.

“Kita mesti ‘menghukum’ negara yang bertanggungjawab menyebabkan penularan wabak itu di seluruh dunia – China,” katanya semasa acara diplomatik PBB, yang diadakan hampir keseluruhannya secara dalam talian disebabkan oleh pandemik.

Trump berulang kali tidak mengambil berat akan keseriusan krisis koronavirus, meskipun AS menjadi negara yang mencatatkan kadar kematian tertinggi di dunia.

Menurut perkiraan daripada AFP, lebih dari 31 juta orang di seluruh dunia dijangkit virus dan hampir 962,000 telah terkorban dari COVID-19 sejak virus mula dikesan di bandar China, Wuhan pada penghujung 2019.

WHO melaporkan pada Isnin lalu bahawa hampir dua juta jangkitan telah direkodkan di seluruh dunia dalam tempoh seminggu pada 20 September.

Peningkatan enam peratus dari minggu sebelumnya ialah ‘angka tertinggi kes yang dilaporkan dalam tempoh seminggu sejak bermulanya pandemik’ menurut agensi kesihatan PBB. – AFP

Pegawai penjagaan kesihatan membuat ujian COVID-19. Kadar kematian di Amerika Syarikat akibat pandemik koronavirus telah melepasi 200,000 orang. – AFP