Korban COVID-19 Iran kini cecah 3,000

TEHRAN, IRAN, 1 APRIL – Angka kematian di Iran akibat wabak COVID-19 telah melepasi 3,000 orang, kata kementerian kesihatan hari ini, ketika Presiden Hassan Rouhani menyelar tindakan Washington kerana tidak mengambil peluang ini untuk menarik balik sekatan terhadap negara itu.

Ketegangan antara kedua-dua negara berkenaan semakin memuncak sejak Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear yang penting pada tahun 2018 dan mengembalikan sekatan ke atas Iran.

Tehran telah berulang kali menyeru Washington untuk menarik balik sekatan itu, yang telah ditentang oleh sekutu AS, terutamanya sejak pandemik COVID-19 melanda.

Jurucakap kementerian kesihatan Kianoush Jahanpour berkata angka kematian koronavirus di Iran kini berjumlah 3,036 susulan Pan 138 kematian baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Beliau menambah bahawa 2,987 kes baharu telah disahkan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 47,593, dengan 15,473 lagi dikeluarkan daripada hospital selepas sembuh daripada wabak tersebut.

Menara Azadi di Tehran dinyalakan dengan bendera dan mesej harapan agar semua negara yang terjejas oleh pandemik koronavirus COVID-19 akan terus bersatu dalam menanganinya. – AFP

“Mereka (Amerika Syarikat) tidak mengambil iktibar daripada keadaan dunia yang kini berdepan dengan pandemik COVID-19 ketika ini,” tambahnya.

Iran kini berdepan dengan kesukaran selepas wabak COVID-19 melanda negara itu selain kejadian-kejadian lainnya seperti banjir akibat hujan lebat yang telah membunuh 21 orang dan seorang masih hilang.

Mojtaba Khaledi seorang jurucakap perkhidmatan kecemasan memberitahu agensi berita ISNA Iran bahawa 22 orang cedera, dengan kebanyakan mangsa berada di wilayah selatan atau tengah ketika negara itu bergelut untuk menangani penularan COVID-19.

Beliau berkata 11 orang meninggal dunia di wilayah Fars, tiga di Hormozgan dan Qom, dua di wilayah Sistan dan Baluchistan, dan satu di Bushehr dan Khuzestan.

Khaledi berkata seorang masih hilang di Hormozgan di pantai teluk. – AFP