Korban di Iran cecah 5,000, perniagaan dibuka semula

TEHRAN, 19 APRIL – Iran kelmarin mengumumkan 73 kematian baharu akibat koronavirus COVID-19 yang menjadikan jumlah keseluruhan kepada 5,031 ketika pemerintah membenarkan perniagaan di ibu kota negara itu yang ditutup, untuk kembali beroperasi sejak semalam.

Keputusan sukar itu terpaksa dibuat dengan rakyat Iran terpaksa memilih di antara dua ketetapan yang sukar, iaitu berdepan risiko dijangkiti atau kemelesetan ekonomi.

Dalam perkembangan lain, Iran terus mencatatkan penurunan dalam kadar kematian dalam tempoh 24 jam bagi hari ketujuh.

Ia juga merupakan hari kelima berturut-turut Iran mencatatkan jumlah kematian dua angka, kata jurucakap kementerian Kianoush Jahanpour pada sidang akhbar.

“Ini (73) adalah jumlah yang sangat rendah dibandingkan dengan beberapa hari kebelakangan ini,” katanya, berharap tren penurunan ini akan berlanjutan.

Jahanpour mengatakan ‘kemenangan kecil’ terhadap koronavirus telah dicapai meskipun Iran berdepan dengan pelbagai kesukaran. Dia mendakwa bahawa sekatan AS telah menghalang Iran membeli kit ujian virus dari Korea Selatan, tetapi tidak memberikan perincian lebih lanjut. – AFP

Warga Iran memakai penutup muka di tengah penularan pandemik COVID-19, membeli-belah di jalan di tepi pasar Grand Bazaar di ibu negara Tehran, kelmarin. – AFP