Korban gempa Haiti meningkat

PORT-AU-PRINCE, 10 Okt – Angka kematian akibat bencana gempa bumi yang melanda bahagian barat laut Haiti pada hujung minggu telah meningkat kepada 17 orang, dengan hampir 350 lagi cedera, menurut kementerian dalam negeri.

Sembilan orang terbunuh di bandar pesisir Port-de-Paix, bandar utama paling hampir dengan pusat gempa.

Tujuh lagi maut di Gros-Morne, kira-kira 50 kilometer ke tenggara manakala seorang terbunuh di bandar Saint-Louis du Nord, menurut kementerian itu.

Petugas kecemasan yang dikerah ke zon gempa berkata kira-kira 7,800 kediaman sama ada musnah atau rosak akibat gempa bermagnitud 5.9 itu, kata pihak berkuasa.

Di Haiti, negara termiskin di Amerika, kod pembinaan tidak dipatuhi dan ini bermakna gempa bumi berkekuatan sederhana mampu mengakibatkan kematian dan memusnahkan bangunan.

Gempa bumi dan beberapa gegaran susulan dirasai di kawasan sejauh ibu negara Port-au-Prince, mencetuskan ketakutan dalam kalangan penduduk yang masih trauma akibat gempa bumi pada 2010 yang telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 200,000 orang. – Bernama

Gambar menunjukkan keadaan bangunan sekolah yang rosak teruk akibat gempa bumi yang melanda Haiti baru-baru ini. – AFP