Korban gempa meningkat 1,200, ribut taufan mendekat

LES CAYES, HAITI, 16 OGOS – Mangsa korban gempa bumi di Haiti kini meningkat melebihi 1,200 orang dan petugas keselamatan terus berusaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan ketika negara Caribbean itu masih terkejut dengan pembunuhan presiden negara itu.

Di Les Cayes, ketika bandar-bandar lain di semenanjung barat daya yang teruk terjejas, kebanyakan penduduk menghabiskan malam mereka tidur di luar rumah mereka kerana bimbang dengan kejutan lanjur baharu.

Jalan-jalan dipenuhi dengan jentera berat menjalankan pembersihan dari bangunan runtuh serta penduduk yang mencari mangsa hilang.

“Terima kasih kepada Tuhan dan juga telefon saya, saya masih hidup,” kata Marcel Francois, yang diselamatkan dari rumah dua tingkatnya yang runtuh di Les Cayes.

Adiknya, Job Francois berkata Marcel dalam suara yang terdesak telah memanggil untuk diselamatkan yang berada dalam runtuhan dan memberitahu dia tidak dapat bernafas dan hampir-hampir nazak.

Wanita Haiti menangis ketika melintasi sebuah rumah yang musnah di Les Cayes pada 15 Ogos selepas gempa 7.2 magnitud menggegarkan barat daya bandar itu. – AFP

Jirannya dan Job menghabiskan masa berjam-jam untuk menyelamatkannya bersama anak perempuannya berusia 10 tahun daripada runtuhan yang berat.

Kira-kira 1,297 orang terkorban dalam gempa bumi berukuran 7.2 magnitud yang melanda Sabtu lalu kira-kira 100 batu ke barat bandar Port-au-Prince, yang musnah dalam gempa bumi 2010.

Kira-kira 13,600 bangunan musnah dan lebih 13,700 rosak teruk, memerangkap ratusan penduduk di bawah runtuhan dan mencederakan lebih 5,700 yang lain, kata agensi perlindungan awam negara dalam laporan kemas kini.

Para penyelamat berdepan tekanan baharu ketika ribut taufan Grace semakin mendekat, menimbulkan kebimbangan hujan berterusan, banjir kilat dan tanah runtuh lewat hari ini, menurut Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan AS.

AS dan negara lain telah menjamin untuk membantu Haiti menangani bencana terbaharu itu. – AFP