Korban jiwa meningkat di Bolivia

LA PAZ, BOLIVIA, 17 NOV – Empat lagi kematian dilaporkan berlaku dalam rusuhan di Bolivia, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang maut dalam kekacauan politik negara itu kepada 23, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Amerika (IACHR), semalam.

Kematian terbaharu itu diumumkan selepas lima perusuh maut dalam pertempuran bersama pasukan keselamatan di tengah Bolivia, Jumaat lalu, yang juga kubu kuat bekas presiden, Evo Morales. IACHR yang berpangkalan di Washington dan sebahagian daripada Pertubuhan Negeri Negeri Amerika turut merekodkan 122 kecederaan sejak Jumaat. Walaupun suruhanjaya itu melaporkan sembilan terbunuh, kerajaan masih berpegang kepada angka rasmi iaitu lima kematian.

Ketua kabinet pemangku presiden Jeanine Anez, Jerjes Justiniano memberitahu media bahawa beliau akan mengarahkan pasukan forensik mempercepatkan proses bedah siasat. Pertempuran ganas antara penyokong Morales dan pasukan keselamatan mula berlaku sejak Anez, 52 mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden, Selasa lalu.

Bekas timbalan speaker senat itu mengambil alih tugas berkenaan bagi mengelakkan penguncupan kuasa, iaitu langkah yang diluluskan Mahkamah Perlembagaan. Menurut IACHR, mereka memandang serius arahan Anez pada Khamis lalu, yang memerintahkan pasukan bersenjata campur tangan dan mengecualikan mereka daripada sebarang tuduhan jenayah. Morales, 60 dalam satu kenyataan di Twitter berkata, pendekatan itu membolehkan pembunuhan besar-besaran rakyat dilakukan. Ketegangan politik mula berlaku di Bolivia apabila Morales dituduh melakukan penipuan dalam keputusan pilihan raya pada 20 Oktober lalu, bagi membolehkan beliau berkuasa buat penggal keempat. Pemimpin orang asli pertama Bolivia itu melarikan diri ke Mexico selepas kehilangan sokongan pasukan keselamatan negaranya. – AFP

Penyokong bekas presiden Evo Morales membaling batu ke arah polis di pinggir Cochabamba, Bolivia. – AP