Korban keempat COVID-19 di Itali

ROM, 24 FEB – Itali hari ini melaporkan kematian keempat akibat jangkitan koronavirus baharu, seorang lelaki berusia 84 tahun di wilayah utara Lombardy, tatkala jumlah orang yang dijangkiti virus terus meningkat.

Ia adalah kematian ketiga di Lombardy, di mana kampung-kampung dikenakan perintah berkurung dan langkah-langkah keselamatan dikuatkuasakan dalam usaha membendung penyebaran penyakit itu, kata jabatan kesihatan wilayah itu.

Ketua jabatan perlindungan awam Itali, Angelo Borrelli, berkata semalam bahawa lebih daripada 150 orang sekarang telah diuji positif virus di negara itu, yang mempunyai jumlah paling banyak kes yang disahkan di Eropah. Sebelas bandar – 10 di Lombardy dan satu di Veneto – dikenakan perintah berkurung, dengan kira-kira 50,000 penduduk dilarang meninggalkan tempat mereka.

Pihak berkuasa serantau telah mengarahkan tempat-tempat perjumpaan seperti bar, restoran dan disko ditutup.

Penyebaran virus itu telah menjejas acara berprofil tinggi termasuk Minggu Fesyen Milan dan Karnival Venice sementara perlawanan bola sepak Serie A juga telah ditunda. Opera juga dibatalkan di La Scala di Milan.

Kebanyakan kes di Itali dicatat di Lombardy, rantau yang makmur di utara negara itu, dan boleh dikesan kepada lelaki berusia 38 tahun yang mana pihak berkuasa menggelarnya sebagai ‘pesakit pertama’. Penyiasat menjejaki semula setiap pergerakan lelaki itu sejak beberapa minggu yang lalu – di mana dia tidur, makan, berjalan – dalam usaha untuk mengesan semua orang yang mungkin bersentuhan dengannya. -AFP

Seorang penduduk yang memakai topeng pernafasan menunggang basikal dekat tempat pemeriksaan polis beberapa kilometer dari bandar kecil Castiglione d’Adda, tenggara Milan. – AFP