Korban koronavirus kini 81

WUHAN, 27 JAN – Kerajaan China hari ini berkata, jumlah keseluruhan jangkitan koronavirus yang disahkan di seluruh negara meningkat kepada 2,744, dengan 769 kes baharu.

Bagaimanapun, katanya tiada kematian baharu disahkan di luar wilayah Hubei, yang sebelum ini melaporkan 24 kematian baharu, yang menjadikan jumlah keseluruhan kematian di seluruh negara akibat wabak itu kepada 81 orang.

Virus itu dipercayai berpunca dari Pasar Makanan Laut Wuhan yang turut menjalankan perdagangan haram hidupan liar, dan merebak ke Beijing serta Shanghai selain ke Amerika Syarikat (AS), Thailand, Korea Selatan, Jepun, Australia, Perancis dan Kanada.

Wabak itu mengakibatkan gangguan pergerakan di China terutama di Wuhan, iaitu bandar mempunyai kira-kira 11 juta penduduk, berikutan dikenakan larangan perjalanan.

Penularan wabak itu dari awal lagi menjejaskan sambutan Tahun Baharu Cina ratusan juta pelancong dari China dan negara luar selain mengakibatkan banyak acara awam dibatalkan serta tarikan pelancongan ditutup.

Perdana Menteri China, Li Keqiang (tengah, kanan) bercakap ketika beliau melawat tapak pembinaan hospital baharu untuk merawat pesakit yang dijangkiti dengan virus membawa maut di Wuhan, wilayah Hubei, tengah China pada 27 Januari. – AFP

Perdana Menteri, Li Keqiang menjadi pemimpin China paling kanan melawat Wuhan sejak kota itu dilanda oleh koronavirus, virus yang telah merebak ke seluruh negara dan mencetuskan kebimbangan global.

Kematian akibat koronavirus telah meningkat kepada 81 orang di seluruh China, walaupun terdapat sekatan besar di wilayah Wuhan dan Hubei, kebanyakannya meninggal dunia akibat virus yang telah menjangkiti lebih 2,700 orang di seluruh negara setakat ini.

Memakai topeng dan pakaian khas, Li berada di Wuhan untuk ‘menyiasat dan membimbing’ usaha berterusan bagi mengawal virus di bandar dengan penduduk seramai 11 juta orang itu, yang telah diletakkan di bawah kuarantin, sesuatu yang belum pernah terjadi sebelumnya, kata Majlis Negeri China di akaun media sosial rasmi.

Li berkata, Majlis Negeri dan Kabinet China akan bertemu dengan pesakit dan kakitangan perubatan di barisan hadapan.

Perdana Menteri China itu telah dilantik sebagai ketua kumpulan kerja untuk menangani wabak itu, yang bermula di sebuah pasar yang menjual haiwan liar untuk makanan di Wuhan.

Kumpulan itu telah mengumumkan lanjutan cuti untuk Tahun Baharu China yang pada asalnya dijadualkan berakhir pada 30 Januari ‘untuk mengurangkan pergerakan penduduk’.

Larangan pengendalian pengangkutan juga dikenakan di sekitar China bagi mengurangkan risiko penyebaran wabak.

Dengan koronavirus juga merebak di peringkat global, ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, sedang melakukan perjalanan ke Beijing bagi bertemu pegawai kerajaan untuk berbincang mengenai krisis.

Sementara itu, Pakar Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China berjaya mengasingkan koronavirus baharu (2019-nCoV) daripada sampel yang diambil sekitar pasar makanan laut Wuhan dan mengesahkan ia berasal dari hidupan liar dijual di situ.

Institut Kawalan dan Pencegahan Penyakit Viral Kebangsaan, yang bernaung di bawah CDC China, berkata 33 daripada 585 sampel yang diperoleh sekitar pasar Borong Makanan Laut Huanan di Wuhan didapati mengandungi asid nukleik koronavirus baharu itu.

Pakar institut terbabit, yang mengambil sampel berkenaan pada 1 dan 12 Januari lalu atas arahan CDC China, mendapati 31 daripada 33 sampel positif itu diperoleh dari zon barat pasar berkenaan, yang menempatkan gerai menjual hidupan liar.

Hasil kajian mengesahkan wabak koronavirus baharu (2019-nCoV) itu berkait rapat dengan jualan hidupan liar dan sejumlah besar tertumpu di pasar terbabit. – AFP/Xinhua