Korban letusan Semeru meningkat kepada 34

CURAH KOBOKAN, INDONESIA, 7 DIS – Angka korban akibat letusan gunung berapi Semeru, Indonesia telah meningkat kepada 34 hari ini, agensi bencana kebangsaan berkata, sementara bantuan dikerahkan ke rantau yang terjejas itu.

Gunung di pulau Jawa itu meletus pada Sabtu, memuntahkan abu tinggi ke udara dan menghujankan lumpur panas ke atas kampung-kampung sementara beribu-ribu orang melarikan diri dalam keadaan panik.

Bencana itu menenggelamkan rumah-rumah dan kenderaan, meliputi kampung-kampung seperti Curah Kobokan dengan abu kelabu dan membuatkan penduduk takut untuk pulang ke rumah mereka.

“Saya trauma, saya bertanya saudara mara sama ada mereka cukup berani untuk pulang ke Curah Kobokan dan mereka semua berkata tidak, mereka lebih rela tidur di bawah pokok,” kata Marzuki Suganda, penduduk berusia 30 tahun yang bekerja di lombong pasir di kawasan berkenaan.

“Apabila letusan berlaku, saya benar-benar fikir saya akan mati di sini,” ujarnya.

Pasukan penyelamat membawa beg mayat dengan anggota badan yang mereka ditemui dari rumah-rumah yang tertimbus di kampung Sumber Wuluh di Lumajang, kelmarin. – AFP

Para penyelamat bergelut dengan situasi berbahaya sejak letusan hujung minggu itu, mencari mangsa-mangsa selamat dan mayat dalam serpihan gunung berapi, bangunan-bangunan yang ranap dan kenderaan-kenderaan yang musnah.

Pasukan pencari mengerahkan anjing-anjing hari ini untuk membantu operasi.

“Kemas kini terkini daripada medan adalah 34 orang terbunuh, 17 hilang,” jurucakap agensi bencana itu, Abdul Muhari memberitahu AFP.

Hampir 3,700 orang telah dipindahkan dari kawasan terjejas, tambahnya.

Gunung Semeru masih aktif sejak Sabtu, membimbangkan pekerja-pekerja kecemasan dan penduduk sekitar.

Terdapat tiga letusan kecil hari ini, setiap satu memuntahkan abu kira-kira satu kilometer ke udara, pihak berkuasa berkata. – AFP