Saturday, October 5, 2024
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korban Mangkhut cecah 74

    ITOGON, Filipina, 18 Sept – Beratus-ratus anggota penyelamat Filipina menggunakan penyodok dan tangan mereka hari ini untuk mencari mangsa dalam runtuhan tanah, dengan puluhan orang dikhuatiri terbunuh di rantau yang paling teruk terjejas oleh Taufan Mangkhut tatkala angka kematian akibat ribut meningkat kepada 74 orang.

    Taufan itu, paling kuat pada tahun 2018, meranapkan rumah dan membanjiri rantau pertanian utama di utara Filipina sebelum melanda Hong Kong dan selatan China dengan angin kencang dan hujan lebat.

    Hong Kong masih bergelut untuk pulih hari ini dengan operasi pembersihan besar-besaran dilakukan bagi membersih pokok-pokok yang tumbang, membaiki jalan raya pecah dan talian elektrik yang rosak.

    Ribut kuat itu membunuh empat orang di selatan wilayah China, Guangdong dan angka kematian meningkat hari ini kepada 74 di pulau utara Filipina Luzon menurut polis, dengan jumlah tersebut dijangka terus naik.

    Para penyelamat mengusung mangsa korban keluar dari kawasan tanah runtuh, yang dicetuskan oleh Taufan Mangkhut di Itogon, Filipina. – AFP

    Seramai 40 orang masih dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan tanah di Itogon, yang dicetuskan pada Sabtu lalu apabila taufan melanda kawasan tersebut dan membawa hujan bersamaan sebulan dalam masa beberapa jam sahaja.

    “Walaupun saya berkata terdapatnya 99 peratus bahawa mereka sudah mati, masih ada peluang satu peratus mereka masih hidup,” beritahu datuk bandar Itogon, Victoria Palangdan kepada AFP.

    “Usaha menyelamat akan diteruskan sehingga presiden mengarahkan kami supaya berhenti,” kata beliau.

    Disebabkan runtuhan tanah memusnahkan jalan raya, pihak berkuasa gagal membawa peralatan berat ke kawasan itu untuk mempercepatkan usaha mencari. Akibatnya kumpulan berkenaan menggunakan rangkaian manusia untuk mengeluarkan mangsa runtuhan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda