Korban mungkin meningkat pada Okt, Nov – WHO

COPENHAGEN, 14 SEPT – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan akan menyaksikan lebih banyak bilangan kematian akibat COVID-19 setiap hari menjelang Oktober dan November ini.

Pengarah WHO Eropah, Hans Kluge, berkata keadaan akan semakin sukar.

“Keadaan akan menjadi lebih sukar. Menjelangnya Oktober dan November, kita akan melihat lebih banyak kematian,” katanya sambil mendedahkan benua Eropah akan mengalami lonjakan kes walaupun jumlah kematian sudah semakin stabil.

WHO berkata, peningkatan itu sekali gus mengakibatkan peningkatan kematian pada setiap hari.

“Saat itu negara-negara tidak enggan mendengar berita buruk (kematian) dan saya faham,” kata Kluge dalam temu bual AFP sambil menekankan ‘mesej positif’ bahawa wabak itu akan berakhir tanpa diketahui bila masanya.

Gambar fail pada 26 Februari menunjukkan Kluge ketika bercakap pada sidang media di Rom. – AFP

Kira-kira 55 negara anggota WHO Eropah menyertai persidangan dalam talian hari ini dan esok untuk membincangkan tindak balas mereka terhadap COVID-19 dan kesemuanya menyetujui strategi lima tahun itu.

Bagaimanapun, Kluge yang bertugas di Copenhagen menggesa supaya tiada pihak yang mempercayai pembangunan vaksin akan mengakhiri pandemik yang diharungi sekarang ini.

“Saya sering mendengar vaksin akan mengakhiri pandemik, sudah tentu tidak.

“Kita tidak tahu jika vaksin itu berupaya membantu seluruh kumpulan penduduk.

“Kami difahamkan vaksin itu hanya membantu satu kumpulan dan bukannya untuk semua yang lain,” katanya.

“Dan jika kita harus membuat tempahan vaksin yang berlainan, ia adalah mimpi buruk logistik.

“Jalan terbaik ialah sebagai masyarakat, kita perlu belajar bagaimana hidup dengan wabak ini. Itu adalah mesej yang sangat positif,” katanya.

Jumlah kes di Eropah melonjak tinggi sejak beberapa minggu kebelakangan ini, terutama di Sepanyol dan Perancis.

Jumaat lalu saja, lebih 51,000 kes baharu dilaporkan di 55 negara WHO Eropah, lebih tinggi daripada tempoh kemuncak April lalu, menurut pertubuhan itu.

Ini bermakna, angka kematian harian kekal pada peringkat sama sejak awal Jun, dengan kira-kira 400 hingga 500 korban harian akibat COVID-19, seperti ditunjukkan data WHO itu. – AFP