Korban nahas setiap 24 saat – PBB

NEW YORK, 22 NOV – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres semalam menggesa supaya langkah-langkah keselamatan di jalan raya terus dipertingkat berikutan berlakunya kematian setiap 24 saat.

“Setiap 24 saat berlaku korban akibat nahas jalan raya. Sambutan Hari Peringatan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia diadakan bagi mengenang kematian tragis berjuta-juta orang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tema tahun ini menekankan kepentingan mengurangkan had laju di jalan raya untuk mengelak kematian dan kecederaan serius – khususnya kepada wanita dan lelaki muda, pejalan kaki dan pengguna jalan raya lain yang terdedah seperti kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya.

“Saya menggesa setiap negara, syarikat dan rakyat untuk menyokong usaha tempatan dan global bagi menjadikan jalan raya lebih selamat, terutama di negara berpendapatan rendah dan sederhana yang mencatat lebih 90 peratus kematian jalan raya di dunia. 

“Sementara kita menanti mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung PBB tahun depan untuk meningkatkan langkah keselamatan jalan raya, marilah kita mengingatkan bahawa setiap daripada kita berperanan memastikan jalan raya yang selamat,” kata setiausaha agung itu. – Bernama