Korban pertama rusuhan kaum

COLOMBO, 14 Mei – Wilayah Sri Lanka di utara ibu negara diletakkan di bawah perintah berkurung untuk satu tempoh yang tidak tetap hari ini selepas kematian pertama dalam rusuhan perkauman ekoran daripada serangan keganasan Easter, kata polis.

Satu perintah berkurung semalaman dilonggarkan di semua kawasan kecuali Wilayah Barat Laut (NWP) di mana seorang lelaki Islam dibunuh oleh perusuh semalam, kata polis, dalam reaksi ganas terhadap pengeboman pada bulan lalu.

Lelaki berusia 45 tahun itu mati akibat luka yang dialami apabila orang ramai menyerbu bengkel pertukangan kayunya di daerah Puttalam di NWP dan mengelarnya, kata sumber rasmi. Di kawasan lain di wilayah, perusuh membakar berpuluh kedai milik penduduk beragama Islam, merosakkan rumah dan masjid dalam rusuhan sehari.

“Perintah berkurung di NWP akan diteruskan sehingga notis lanjut,” kata jurucakap Ruwan Gunasekera. “Anggota keselamatan sedang membantu polis yang telah diarah supaya menggunakan kuasa maksimum untuk membendung keganasan.”

Polis berkata mereka melepaskan tembakan ke udara dan menggunakan gas pemedih mata di beberapa tempat untuk menghalang orang daripada menyerang masjid.

Di daerah Gampaha, perusuh memecah restoran pemilik Islam dan sekurang-kurangnya sebuah kilang pakaian, kata sumber rasmi dan penduduk. – AFP

Kakitangan keselamatan Sri Lanka berjalan di depan sebuah kedai yang musnah selepas serangan perusuh di Minuwangoda kelmarin. Sebuah wilayah Sri Lanka di utara ibu negara diletakkan di bawah perintah berkurung kelmarin selepas kematian pertama dalam rusuhan anti Islam ekoran daripada serangan keganasan Easter. – AFP