Korban runtuhan cecah 21 orang

ISTANBUL, 10 Feb – Jumlah kematian akibat runtuhan sebuah bangunan pangsapuri di Istanbul meningkat kepada 21 orang semalam, tatkala Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata pihak berkuasa mempunyai ‘pengajaran untuk dipelajari’ daripada kejadian itu.

Blok lapan tingkat di daerah Kartal di bandar kawasan Asia itu roboh pada Rabu tetapi puncanya masih tidak jelas.

Erdogan, melawat tapak itu semalam, berkata, “Kami mempunyai banyak pengajaran untuk dipelajari daripada kejadian ini. Kami akan mengambil langkah yang wajar.”

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu, memberitahu wartawan ba-hawa jumlah kematian akibat runtuhan bangunan itu telah meningkat kepada 21 orang dan 14 cedera.

Ia adalah kali ketiga angka kematian dikemaskini pada hari itu.

Presiden Recep Tayyip Erdogan (tengah) ketika menghadiri pengebumian sembilan mangsa runtuhan pangsapuri di Istanbul, Turki. – AFP

“Kami menganggarkan terdapat 35 orang terperangkap di bawah runtuhan dan kini kami telah mencatatkan 35 orang,” kata beliau sementara menekankan operasi mencari akan diteruskan seperti sebelumnya.

Berpuluh anggota penyelamat sedang bekerja di tapak kejadian dengan kren mengangkat blok konkrit besar untuk membersihkan runtuhan.

Presiden Erdogan juga melawat sebuah hospital untuk bercakap dengan mangsa yang selamat, sebelum menghadiri pengebumian sembilan ahli sebuah keluarga yang kehilangan nyawa mereka dalam bencana tersebut.

Pihak berkuasa Turki berkata 43 orang didaftar sebagai penghuni dalam bangunan berkenaan.

Menteri Alam sekitar Murat Kurum, yang mengiringi Erdogan, berkata blok itu telah menempatkan 14 pangsapuri dan tiga perniagaan.

Media Turki berkata tiga daripada lapan tingkat telah dibina tanpa kebenaran – satu amalan yang biasa di metropolis yang terdiri daripada 15 juta orang.

Keruntuhan mencetuskan kritikan tentang amnesti kerajaan yang diberikan pada tahun lalu kepada orang yang dituduh melakukan pembinaan tidak sah, satu langkah yang diumumkan sebelum pilihan raya perbandaran pada Mac ini. – AFP