INDIA, 2 MAC – Angka kematian akibat runtuhan salji di utara India meningkat kepada tujuh orang hari ini apabila mangsa yang terselamat mengimbas kembali penyelamatan dramatik mereka selepas beberapa jam tertimbus di bawah salji dan runtuhan.
Pasukan menyelamat menemui tiga mayat dan mencari orang terakhir yang masih hilang, kata tentera.
Lebih 50 pekerja tertimbus di bawah salji dan serpihan selepas runtuhan salji melanda sebuah kem pembinaan Jumaat lalu berhampiran perkampungan Mana di sempadan dengan Tibet di negeri Uttarakhand di utara Himalaya.
Pihak berkuasa mengurangkan jumlah pekerja di lokasi ketika runtuhan salji daripada 55 kepada 54 orang selepas seorang pekerja, yang sebelum ini dipercayai tertimbus, didapati selamat pulang ke rumah sebelum runtuhan salji melanda.
Pasukan bantuan berjaya menyelamatkan 50 pekerja, tetapi antara mereka empat kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan.
“Ia adalah kuasa takdir yang telah menyelamatkan kami,” beritahu Anil, yang berusia 20an, kepada AFP hari ini melalui telefon dari katil hospitalnya.
“Keadaan kami ketika diselubungi salji, seolah-olah kami tidak mempunyai harapan untuk bertahan. “Hidup kini terasa seperti mimpi,” katanya.
Tentera berkata ia telah melancarkan sistem pengesanan berasaskan dron untuk membantu dalam operasi pencariannya.
Beberapa dron dan anjing penyelamat turut digunakan. – AFP
